Cerpen
TAJUK : RAMADAN, ETAK DAN LAGUN.
|
RAMADAN mesti dihidupkan dengan cahaya qiamulail dan sembahyang solat sunat terawih. Ramadan perlu dihubungkan dengan sulur silaturrahim dan sifat sedekah. Bulan barakah itu cukup bercahaya dengan nur bacaan ayat-ayat suci al-Quran nil karim di setiap penjuru alam.
Ibu pernah dengar bacaan Quran merdu padu daripada Syeikh Masyari Rashid Al Afasi. Juga pernah ikuti ilmu pembacaan Quran daripada arwah Syeikh Abdul Basid. Sesekali ibu ciplak lenggok bacaan daripada Saad Said Al Ghamidi, Surin, serta arwah Haji Ahmad Pergau. Ibu tenang dan syukur ketika tempias bacaan tokoh qari dunia itu menusuk ke dalam jiwa dan suaranya. Maknanya setiap kali tibanya Ramadan al Mubarak, ibu habiskan tiga puluh juzuk bacaannya.
Kini ibu disulami sakit. Ibu sudah tidak lagi membaca kalamullah pada setiap petang di rumah jemaah. Kalau dulu ibulah ketua jemaah, kini ibu sendirian di rumah. Kalau pun ibu boleh bangun, ibu sekadar berada di beranda rumah sambil merenjiskan airmata kepiluannya ke permukaan tanah waktu menatapi langit tinggi yang putih bersih.
Ibu disuntik penyakit misteri. Ibu tidak boleh sembahyang jemaah di masjid apa lagi di surau dan ibu tidak boleh melihat langit. Kalau ibu memasukki masjid, ibu rasakan perabung dan mimbar masjid seakan jatuh menimpa badan ibu. Kalau ibu merenung langit, langit itu seperti menyerkup tubuh ibu.
Kalau ibu berjemaah di surau, ibu rasakan surau itu seperti mahu menghempap tubuhnya. Sakit ibu payah menemui penawarnya. Demikian kata Wan Seman, sahabat arwah ayah yang juga bilal di salah sebuah surau di Kampung Belimbingmangga.
Justeru dengan bantuan kerabat nelayan ibu dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan jiwa. Namun doktor kata ibu tidak sakit. Ibu sihat walafiat. Ibu boleh bercakap seperti biasa. Tersenyum dan ketawa. Boleh mengaji quran dengan baik. Tapi ibu sakit! Sakit ibu kerana tidak dapat berjemaah di masjid dan surau. Tidak boleh melihat langit! Bila melihat langit, fikiran ibu berkecamuk.
Kemudian ibu menjalani pula rawatan secara tradisional. Ada air jampi dan aroma bunga di sediakan buat ibu. Namun sakit ibu masih seperti biasa. Bila langit gelap mengendong hujan, tatakala kilat sabung menyabung dan guruh berheretan di dada langit, ribut mematahkan dahan pokok kayu kayan, ibu akan berlindung di bawah rumah! Astagfirullah hal azim!
“Lagun tu bahaya Fikri! Dah lima orang terbunuh di situ!” demikian peringatan daripada Abang Jalal, sepupu arwah ayah ketika Fikri melakukan persiapan untuk mencari etak di situ.
“Pakcik Jalal, saya mahu ubati ibu,” jawab Fikri. “Saya mahu ibu dapat menunaikan sembahyang sunat terawih di surau dan masjid. Saya mahu ibu mengepalai ketua membaca yasin di rumah jiran selama sebulan.”
“Ibu kamu bukannya sakit,” sambung Abang Jalal. Dia memerhatikan mata kapaknya yang basu siap diasah. Dengan menggunakan mata kapak tersebut
“Kalau ibu tidak sakit kenapa ibu takut hendak sembahyang di masjid dan surau? kalau ibu tidak sakit kenapa ibu berlindung di bawah rumah bila hujan ribut?” demikian pertanyaan yang terbuhul di dalam hati Fikri.
Abang Jalal hanya mendiamkan diri ketika menerima pertanyaan daripada Fikri. Dia menggenggam hulu kapaknya di dalam genggaman tangan kanan kemudian berlalu pergi ke bukit hilir, meninggalkan Fikri terkulat-kulat di birai sungai.
Tik! Peluh kecil yang memberat di dahi Fikri, gugur di halaman rumahnya. Ibu terlelap di serambi rumah. Barangkali ibu mengantuk kerana semalam ibu tidak nyanyk tidur. Peralatan mencari etak seperti penyodok dan bekas mengisi hasil pantai itu diletakkan setempat. Matahari tinggi di timur. Cerah cahaya matahari menghangatkan seluruh desa yang terletak di pinggir laut itu.
Aku mesti mencari etak. Hasilnya akan aku jual pada peraih. Aku mesti ubati sakit ibu. Aku mahu ibu berjemaah ramadan di masjid. Aku hendak ajak ibu tadarus quran sepanjang tiga puluh malam Ramadan. Selebihnya aku akan gunakan buat membeli buku-buku plejaranku. Aku tidak mahu lagi menyusahkan ibu. Demikian tutur kecil yang muncul di dalam diri Fikri.
“Ri, jangan ke lagun tu,” resah Herman Saif. Dia menyapu anak peluh yang berintik di lengannya.
“Kenapa?” soal Fikri. Wajah sahabatnya itu direnungnya dalam-dalam.
“Pihak berkuasa dah tegah ke sana. Bahaya!” Herman Saif menelan liurnya.
“Tapi di sana banyak etak!” dan itulah ketegasan Fikri.
“Aku tahu, tapi...” jalur-jalur kebmbangan muncul lagi di halaman muka Herman Saif.
“Herman, aku ada seorang sahaja ibu kandung di dalam dunia ini dan aku tidak mahu ibu sedih apa lagi sakit. Aku kena ubati ibu baik secara tradisioanl mahu pun moden,” sambung Fikri. Dia masih menyusun peralatan menyodok etak.
“Lagun tu dah telan dua belas mangsa. Aku tidak mahu kau menjadi mangsa ke tiga belas,” ikhlas tutur Herman Saif . Kegundahan dan risau berjujut di dalam dirinya.
Ahhhh! Ibu! Aku mesti ubati sakitmu! Aku tidak akan biarkan kau menderita sepanjang hayat! Lagun itu menyimpan ribuan rezeki buatku dengan ibu! Aku mahu ibu kembali berjemaah di masjid bukan sahaja di musim ramadan ini malah di musim-musim yang lain. Aku idamkan ibu kembali menjadi ketua jemaah membaca yasin! Menyatukan desa dengan bacaannya. Aku mesti ubati ibu!
“Ibu kau dah biol Fikri! Hantar aje ke hospital jiwa!” demikian herdikan daripada Pak Ngah Napi, musuh tradisi arwah ayah kerana perbezaan fahaman politik.
Ahhhh! Pak Ngah Napi? Akan aku buktikan bahawa ibuku bukannya biol. Ibuku tidak gila seperti yang orang kampung sangkakan! Ibuku sakit. Sakit yang sukar mencari penawarnya. Namun aku yakin. Sungguh-sungguh. Setiap penyakit ada penawarnya dan aku tidak akan biarkan ibu selamanya dirajut kesedihan dijaring nestapa dan dipukul pilu.
Lagun? Ahhh! Aku anak lelaki. Arwah ayah sudah ajarkan aku dengan ilmu kehidupan. Arwah ayah telah zikirkan aku dengan zikir keberanian. Justeru, lelaki mesti berani merempuhi segala dugaan yang terlintang di hadapan. Tanpa cabaran, dugaan dan halangan, lelaki itu tidak lelaki lagi.
“Jangan ke sana Ri,” halangan itu terluah daripada mulut Wan Setapa, guru silat arwah ayah. “Tok wan tak mahu kehilangan keturunan Pendekar Renda Emas.”
“Tok wan, Ri sayangkan ibu,” demikian ikhlasnya tutur Fikri. “Zahirnya ibu nampak sihat tetapi batinnya ibu menderita.”
Tok Wan Setapa tunduk. Dia sekadar menelan liurnya kemudian dia menghela nafasnya beberapa kali. Kalaulah dia mampu dia akan tadah derita Fikri kemudian menyimpannya di dalam kehidupannya. Sayang, dia tidak mampu malah ada ketikanya dia juga dipaut sengsara.
Ponggg!
Bunyi suara kapal di tengah lautan menembusi gegendang telinga Fikri. Bersama alat penyodok etak, dia melompati tebing sungai diiringi paluan semangat yang bersipongan di dalam gelanggang dadanya. Sesekali benteng sungai yang berlumut hijau dan berkelaring itu, tertusuk ke dalam pandangan matanya. Aku kena cari etak! Aku kena bantu ibu! Demikian jati diri dan nilai murni anak arwah Kadir.
Panas yang menggigit kulit tubuhnya tidak dihiraukan. Yang ranum di dalam dirinya hanya satu. Mahu sembuhkan penyakit misteri yang ibu alami. Lalu, selaku anak pantai, remis dan etak serta udang dan ketam, merupakan sumber pendapatan. Sejak kecil dia dilatih arwah ayah dengan tugasan begitu.
Hari ini, dia ke lagun kerana di situ sudah terhimpun rezeki buatnya. Senyiru etak dia sudah dapat belasan malah puluhan ringgit. Kalau dua atau tiga nyiru sehari bererti dia mendapat pendapatan yang lumayan juga.
Lagun sepi sahaja seperti baharu diserang garuda. Tidak ada sesiapa kunjungi kawasan tersebut pada petang hari itu. Yang kelihatan Cuma beberapa ekor bangau putih sedang mematuk pasir di situ. Wajah ibu terbayang diruangan mata Fikri. Wajah itu seakan mengharap pertolongan daripadanya. Justeru, jauh-jauh di anjung hatinya, dia sudah menanam tekad. Dia mahu ubati penyakit misteri yang dialami ibunya.
Tanpa fikirkan sesiapa lagi, Fikri memijak pasir lagun yang hanyut. Kemudian dengan menggunakan penyodok etok yang telah diubahsuai daripada raga basikal itu, dia memulakan kerja dan usahanya. Kerana ketekunan dan kesabaran, dia sudah berjaya perolehi etak yang banyak.
Setiap kali sodokkannya dilakukan hatinya sungguh gembira sekali. Pendapatan itu memberikan peluang kepadanya mengubati nestapa ibu. Dia juga bertekad. Ramadan kali ini Ramadan istimewa buat ibu selepas dua tahun ibu alami penyakit misteri. Dia akan bawa ibu ke mana sahaja pusat rawatan moden dan tradisional untuk ubati sakit ibu. Dia mahu ibu sembuh dan kembalikan kegemilangan ibu selaku ketua jemaah. Dia mahu mengarai kemeriahan Ramadan dengan memimpin tangan ibu ke masjid dan surau.
Angin bertiup perlahan. Fikri meneruskan tugasannya. Tanpa kesali peluhnya yang gugur ke dalam pasir lagun, dia terus menyodok etak. Banyak sekali etak yang berjaya dikumpulnya di dalam bekas. Riang rasa hatinya. Harapan untuk mengubati sakit ibu, ranum dan kembang di dalam dadanya seperti bunga-bunga di pergunungan.
Tanpa hiraukan gigitan cahaya matahari Fikri menyambung tugasannya. Raga buat mengisi etak hampir penuh dan dia yakin dia mendapat hasil pantai itu tidak lebih dari tiga nyiru besar. Dia ke hilir kawasan lagun. Perlahan-lahan dia menjatuhkan alat penyodok etak.
“Fikriiii! Bahaya!” satu laungan menembusi gegendang telinganya.
Fikri berpaling ke belakang. Tiba-tiba dia rasakan kakinya terjerlus ke dasar sungai yang tidak bertunjang. Alat penyodok etak yang berada ditangannya terlepas dari genggaman tangannya. Tubuhnya terperosok di bawah lagun.
Air memasukki lubang hidung, telinga serta mulutnya. Pasir-pasir kecil yang bersinar serta kulit kerang dan etak perlahan-lahan mengambus tubuhnya dan akhirnya tubuh kurus itu terdampar di dasar sungai.
TAMAT
Tidak ada komentar:
Posting Komentar