Penderitaan mengajarku erti kehidupan sebenar. kesusahan jadikan aku kreatf. nasihat arwah ayah dan arimata ibu mendidik jiwaku jadi tabah mengharungi gelombang kehidupan yang sendat dengan buah cabaran dan dugaan.

Minggu, 13 Desember 2009

ANAK WARISAN


Cover untuk novelet baru. Yang aku catatkan di sini adalah pengalamanku. Yang bakal anda jelajahi daerah kisah dan cerita di dalam buku kecil yang besar manafaat ini, adalah ketabahanku. apa yang aku kisahkan dalam citra kisah ini adalah sesuatau yang bermotivasi dan menunda fikir insani bahawa hidup perlukan kepada kesungguhan dan jangan pandang enteng kerja yang enteng kerana keentengan itu akan jadikan seseorang itu rugi.

Minggu, 29 November 2009

ANSARI


sebuah kisah yang menyayatkan hati berpaksi kepada pengalaman. bagaimana menghadapi situasi cemas saat bertembung dengan ular tedung selar yang garang berbisa. baca dan cuba fikirkan intipati dari cerita tersebut dan buatlah iktibar kerana iktibar itu akan memandu anda ke daerah insaf dan silaturrahim.

Kamis, 19 November 2009

LEFTENAN HAMBALI


1

L

EFTENAN Hambali bersama-sama anggotanya terus menyusuri denai hilir dalam usaha menjejakki saki baki pengganas yang bersembunyi di dalam kawasan tersebut.

Platun Delta itu juga bertekad mahu menangkap musuh yang telah membunuh tujuh orang penduduk kampung termasuk empat orang daripada kaum orang Asli. Kesemua mereka terbunuh kerana tidak mahu menjadi tali barut pasukan berbintang tiga itu.

Tiba-tiba pergerakkan pasukan itu dihentikan. Sarjan David memberikan isyarat tangan bersilang di atas kepala. Kesemua anggota di dalam pasukan tersebut tahu dan mengerti dengan isyarat itu.

“Ada apa sarjan?” tanya Leftenan Hambali bernada perlahan.

“Ada kesan tapak kasut tuan!” jawab Sarjan David.

“Di mana?” tanya Leftenan Hambali lagi.

“Di sini tuan,” kata Sarjan David pula. Laras senapang automatiknya di pusingkan ke kanan ke arah pokok-pokok yang merimbun di tepi denai.

Leftenan Hambali terus merangkak perlahan-lahan menuju ke arah Koperal David. Platun Delta terus memerhatikan keadaan sekeliling. Pokok-pokok yang merimbun kadang kala memberikan kesangsian kepada pasukan yang menjalankan tugas.

“Ini dia kesan tu tuan,” kata Sarjan David lagi dalam nada berbisik. Anggota lain dari pasukan itu melilau ke kiri dan kanan seakan sedang memerhatikan sesuatau.

“Tapak kasut ni menuju ke sebelah barat tuan,” sambung Sarjan David lagi.

Leftenan Hambali mendiamkan diri. Dia mengeluarkan peta yang berada di dalam saku bajunya. Kemudian dia mengkaji kedudukan permukaan tanah di situ.

“Kita kena cepat bertindak tuan!” Sarjan David memandang keliling kawasan.

Leftenan Hambali menganggukkan kepalanya. Dia memerhatikan ke arah platunnya. Dengan menggunakan bahasa isyarat dia memanggil salah seorang daripada anggotanya yang berada di kanan. Koperal Lingam menuju ke arah Leftenan Hambali.

“Bawa dua anggota buat tinjauan hadapan koperal!” perintah Leftenan Hambali. Senjata automatiknya dipangku di atas ribaannya. Sesekali dia memerhatikan kemhadapan. Anak-anak burung berdada merah berloncatan di atas ranting kayu yang kering.

“Baik tuan!” akur Koperal Lingam.

Angin bertiup perlahan.

Tanpa membuang masa walapun sesaat, Koperal Lingam bersama-sama dengan dua lagi anggota platun itu terus membuat tinjauan. Memang kesan tapak kasut itu menghala ke arah barat. Koperal Lingam menelan liurnya.

Kemudian dia ternampak kesan air keruh di dalam denai. Riak-riak di dalam denai itu seakan baharu sahaja diseberangi. Pantas Koperal Lingam bersama dua anggotanya pulang ke pangkalan.

“Macam mana Lingam?” tanya Leftenan Hambali.

“Kesan tu menyeberangi denai sarjan!” jawab Koperal Lingam.

“Menyeberangi denai?” berkerut dahi Leftenan Hambali.

“Kalau macam tu kita kena bertindak cepat tuan!” kata Sarjan David pula.

Leftenan Hambali menganggukkan kepalanya. Dia mengarahkan anggotanya bergerak. Dengan penuh berhati-hati pasukan tersebut menuruti arahan itu. Mereka berjalan dalam satu barisan. Tanpa memijak daun-daun kering mahu pun ranting, mereka terus menuju ke arah denai.

Rabu, 11 November 2009

BANYAK MEMBANTU


Abang Sham banyak membantu dan memberikan tunjuk ajar dalam dunia penulisanku. Terima kasih Abang Sham. Menungal padi bukit tidak mudah, apa pun berasnya tetap juga berwarna putih sama seperti padi di sawah.

SAHABATKU RAHIMIDIN ZAHARI


Kami pernah berkongsi idea dan pengalaman dalam dunia penulisan.

Senin, 09 November 2009

SM TUMPAT - SEKOLAH KEDUAKU.


Inilah logo sekolah kedua ku. Sekolah Menegah Tumpat waktu penghujung 70an. Warna lencana ini masih utuh dan segak seperti 50 tahun dahulu tidak berubah dan megah menjurai nur pendidikan Kelantan dan Malaysia.

Seribu kenangan berhimpun di perut sekolah ini. Antara airmata dan cita-ciata silih berganti tatakala menuntut ilmu dalam serba kekurangan dan kedaifan. berbasikal 40 km sehari tidak luntur cita-citaku. Royal Militry College atau Maktab Tentera idamanku.

Di sinilah aku kenali apa itu cita-cita dan tekad. hanya ada dua
cita-cita waktu itu. Pertama Maktab Tentera atau Polis dan kedua Maktab Perguruan. Yang berjaya ku gapai hanyalah menjadi penulis bukan Polis dan tidak guru akademik tetapi guru cerpen, puisi dan novel.

SMT, ribuan kenangan kurajut dalam nestapa dan kesungguhan. Tahniah kepada temna-teman yang berjaya dalam hidup. kepada yang tidak berjaya, sabarlah.

Kecemerlanagn di dalam persekolahn tidak semesatinya cemerlang di dalam kehidupan, apa lagi kehidupan sesudah berkeluarga.

1982 mendapat tawaran ke Universiti Sains Malaysia dalam bidang Kreatif dan Diskriptif. tetapi tidak dapat melanjutkan pelajaran di sana kerana masalah kewangan.




SEKOLAH PERTAMA KU


Inilah logo sekolah pertama ku. Waktu itu sekolah ini dikenali dengan nama Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Inggeris Tumpat. Ramai teman-teman sepengajian denganku di sini.

Masih ku ingat Cikgu MUstapa Kashim, Cikgu Azmi Hassan dan kami memanggilnya Rahim. Mat Jusoh Boto', Azmi Samad, Anuar Harun, Najib Badaruddin, Ketua Unit Maklumat JPN kelantan, Prasert.

Masih ku ingat, Kang Suam Bee, Shaari Yusoff, Rajesparan, Eh WAt, Yap Chee Man, Mr. Sarunathan (specialist Maths dan English), Mr. Tay, Guru Besar yang paling tegas Cikgu Kashim Mustapa, cikgu Hashim Ahmad (master of sport) , Eh Chin, Hamid 'China', Badrulzaman Ramli dan ramai lagi termasuk Azman Othman serta Man D.O.

Sabtu, 10 Oktober 2009

LAGI KARYAKU


RINDU TANAH MALAYA


Bula Malaya

Bula Malaya kei Viti Talenga

Cauravou era ya gangga

Nibula ni bula kece sara

Me da sa mai vei kuna tale

(Hello Malaya dan Fiji

Pemuda-pemuda kami

Adalah askar yang berani

Mereka gembira

Hello, hello semua....

Teringatlah Fiji...Fiji sangat kecil...)

i

Hening yang jatuh berlambakan di petak padang Syria Park Nausori, Fiji tersusun padat dalam bingkai kornea mata Seremaia Vakarusa. Bekas Sarjan askar Fiji yang pernah berkhidmat di bumi Malaya antara tahun 1952-1956 itu bertongkat sambil menyapu perlahan baki kristal airmata di kelopak matanya dengan perut jari tangan kiri. Tiupan begol lagu The Last Post terus mengoyak naskah ngilu yang bersarang di dadanya. Seiringan dengan tiupan begol itu, bendera negaranya diturunkan perlahan-lahan setengah tiang sebagai menghormati teman yang gugur.

Sesekali dia melebarkan gelemair matanya ke arah bekas teman-teman yang datang dari Persatuan Bekas-Bekas Perajurit Fiji dari cawangan Tebara yang merangkumi daerah Nausori, Naitasiri dan Rewa. Teman-teman juga sudah banyak yang bertongkat, tua, perut buncit dan uzur. Kebanyakan teman-temannya merupakan anggota dari Kompeni A yang pertama sekali meninggalkan Fiji menuju Singapura melalui kapal.

Di Singapura bekas sarjan itu di pimpin oleh Ratu Edward Chakobau sebelum berpindah ke Kota Tinggi bagi jalani latihan perang. Dan ketika di Labis terciptalah lagu Bula Malaya yang dikarang oleh Josua Rabakuwaqa Komandan Platun Mortar Kompeni A. Lirik lagu nostalagia itu menebuk perlahan mozek ingatannya.

ii

1954

Darah membuak di bahu Seremaia Vakarusa. Darah itu jatuh dan mengelar urat-urat timbul di dada daun kayu kayan di pelepah bukit. Sesekali dia meluahkan kerutan di anjung wajahnya dan ternyata kerutan itu melambangkan jumlah kesakitan yang jitu. Rifelnya tetap tersangkut di bahu dan teguh ikhlas perjuangannya di Tanah Malaya seperti ikhlas teguhnya bukit-bukit di kaki Labis.

“Biar saya tumbuk daun kayu kayan ni.” Salmah, perempuan tanah Malaya memeriksa luka di bahu pejuang dari Fiji itu. Darah merah perajurit itu terlekat di hujung jari terlunjuknya.

“Daun kayu?” Muka perajurit Fiji agak berkerut bila Salmah menyentuhi lopak luka di bahunya.

“Daun kayu ni berubat.” Salmah menyapu peluh dimukanya.“Hutan Tanah Melayu kaya dengan ubat tradisional. Ayah saya selalu guna daun ni bila setiap kali dia luka. Bukan sia-sia daun kayu kayan ni di cipta.”

“Salmah...” Seremaia Vakarusa menelan liurnya. Peluh di mukanya sudah banyak yang jatuh ke bumi. “Terima kasih kerana sudi bantu saya.”

Senyuman kecil terbuhul di hujung kelopak bibir cantik Salmah. “Terima kasih juga saya pada perajurit dari Nausori kerana sudi berjuang dengan panji komanwel di tanah air saya.” Tangannya hitam terpalit daun kayu berubat yang ditampal di bahu tentera Fiji itu.

“Saya senang dengan perempuan Tanah Malaya.” Ujar Seremaia Vakarusa, “budinya setinggi bukit-bukit di Bahau ni.”

Salmah tidak pantas menjawab, mengolah sekuntum senyuman kemudian membalut luka di bahu perajurit Fiji bertubuh sasa itu. Darah yang membuak di papan bahu kini sudah berhenti. Lengkingan daun-daun ketika diterpa angin menusuk perlahan andas telinga Seremaia Vakarusa.

“Budi tu bersifat antarabangsa.” Sambil menyambung ujar, perajurit Fiji meriba rifelnya. “Ukuran peradaban sesebuah negara bukan terletak pada subur tanahnya tapi pada darjat kemerdekaanya.”

Salmah menyapu peluh di mukanya. Perempuan berambut panjang yang gemar memakai baju kurung itu mengemaskan cucuk sanggulnya. Perlahan-lahan dia berkata, “buat baik bukan kerana budi,melainkan bakti.”

“Rasanya tak mahu pulang ke Fiji.” Seremaia Vakarusa melingas pandangan ke hujung kaki bukit.

“Vakarusa, Tanah Malaya hanya tempat bertugas. Bukan tanah air saudara.” Balas Salmah.

“Tapi tak salah kalau saya katakan Tanah Malaya ni tanah air saya yang keduakan?” Seremaia Vakarusa meletakkan soalan.

“Vakarusa?”

iii

1955

Petikan tali gambus memukau Tanah Malaya. Lenggok lagu-lagu yang menyentuh hati perantau, pantas terluah di hujung jari seni Sarjan Seman. Lelaki pejuang itu tidak pernah menunjukkan resah waktu berjuang pertahankan negara. Ketika peluru musuh himpang himpit di telinganya, dia terus menentang petualang tanpa rimbunan resah di ulu hati.

“Kau seorang pejuang berjiwa tanah air, Seman.” Seremia Vakarusa menyapu peluhnya. “Pahlawan Melayu sebenarnya seorang yang berani.”

“Bukan aku seorang yang berani. Kau juga berani.“ Sarjan Seman tersenyum kecil sambil memetik tali gambus. Sesekali dia melambungkan pandangannya jauh ke kaki bukit di daerah Bahau. Dengan kecekapannya memetik tali gambus setidak-tidaknya dia telah berjaya hiburkan hati pejuang-pejuang dari Fiji. Kerana kecekapannya bermain gambus akhirnya di digelar Sarjan Gambus.

Gambus antik itu diribanya perlahan.

“Seman..”

“Ada apa Rusa?”

“Aku tertarik dengan dia.” Perlahan suara Seremaia Vakarusa sambil meletakkan pandangan pada picu rifelnya.

“Dia?” Muka Sarjan Seman berkerut. Gambus yang diribanya disandarkan ke dinding berek, “siapa?”

“Perempuan Tanah Malaya.”

“Perempuan Tanah Malaya?” Sarjan Seman diam sejurus. Kelopak bibirnya dikemam. Wajahnya berkerut memikirkan sesuatu.

“Budi baiknya tak dapat ku balas.”

“Memang itulah perempuan Tanah Malaya, Rusa.” Sarjan Seman meriba kembali gambusnya. Dua tiga kali dia memetik tali gambus, dan bunyi peteh petikan itu tertebar sayu, jauh ke hujung berek, “mungkin wajahnya tak cantik tapi dia boleh cantikkan budinya kalau dia mahu.”

“Seman,” Seremaia Vakarusa memeriksa raifelnya, “ada rindu ku tumpah di sini.”

“Rindu?” Sarjan Seman menyapu muka gambusnya, meriba kemudian memetik dua tiga lagu ngilu. “Maksudmu?”

“Salmah.” Ringkas tutur Seremaia Vakarusa.

Sarjan Seman diam. Menabur pandangan jauh ke hujung berek dan ke kaki bukit tinggi yang berbalam.

“Dia seorang perempuan yang baik,” Seremaia Vakarusa melucutkan gugus keluhan.

Sarjan Seman diam. Memasung diri dan rasanya di celah-celah petikan tali gambus yang ngilu.

iv

Sarjan Seman menyapu kristal peluh yang berkaca di wajahnya. Wajah yang berkedut itu menyimpul simpan seribu rahsia dan pengalaman waktu menuntut kemerdekaan Gambus yang pernah di petik ketika bersama tentera Komanwel disandarkan di atas almari. Kumat kamit dia gerakkan bibirnya menyanyikan lagu BULA MALAYA. Lagu nostalgia itu cukup mekar dalam indraloka ingatannya. Perlahan-lahan dialihkan pandangannya pada anak keris yang tersangkut di dada dinding. Keris tiga lok itu hadiah dari Kopral Robi, anak timur dari sempadan Malaysia-Thai. Lama direnungnya keris tersebut. Dalam budaya Melayu, bisik hatinya, keris meletakkan lambang sempurnanya wibawa Melayu dan barang pusaka yang punyai kukuh kuasa magis.

Perlahan-lahan dia mengambil keris yang memiliki ketampanan rupa, kekacakan garis dan kehalusan hiasan itu. Ditariknya mata keris dari perut sapir, lalu diciumnya mata keris berbentuk gerak ular campuran alunan ombak dan arus air itu. Terkenang Mat Kilau, terbayang Tok Janggut. Teringat Megat Panji Alam yang memakai keris panjang perbuatan Minangkabau, empat jengkal, memakai pendua berhulukan bawang sebungkal bertatahkan permata merah. Ditenung tilik anak keris kecil berseni, teringat kisah keris Raja Mambang Malik yang mempunyai mata sepukal pamur perak tiga biji di hujungnya:

Keris bernama Semilawari

Pedang bernama kilat senja

Diam dalam cembul gading.

Ombak melambung buihnya hingga hinggap di perabung rumah. Seorang lelaki, sebayanya, menjatuhkan langkah di celah-celah garing pasir dan suam percikan buih, menjinjing beg memasuki halaman rumahnya. Anak keris di simpan di dalam almari ukir. Perlahan-lahan dia meletakkan pandangan pada tubuh Dia terpegun melihat langkahan lelaki itu. Senyuman kecil berbunga di hujung kelopak lelaki bertopi anyaman buluh.

“Boleh saya tumpang tanya?” Telonya pekat Inggeris.

Sarjan Seman terpegun “tuan boleh bercakap Melayu?”

“Saya lama di Tanah Melayu.” Jawabnya, senyum sambil menyapu peluh di mukanya.

“Tuan nak tanya apa?” Sarjan seman membiarkan percikan anak ombak menimpa mukanya.

“Apakah ini rumah Sarjan Seman?” Perlahan tutur Seremaia Vakarusa, sambil melilau kiri dan kanan.

“Sarjan Seman yang mana satu tuan?”

“Sarjan Seman yang pernah bertugas dengan tentera komanwel.” Jelas Seremaia Vakarusa.

“Errrr...ya..ya..”

“Ini Sarjan Semankah?” Usul bekas tentera Fiji.

“Ya, saya.“

“Sarjan tak kenal saya lagi?” Seremaia Vakarusa tersenyum. Perutnya agak buncit.

“Saya dah tua, tuan” Jawab Sarjan Seman. Di biarkan anak-anak ombak menyapa tubuhnya. “Fikiran orang tua mudah lupa.”

“Saya Sarjan Seremia Vakarusa dari tentera Fiji.” Dia perkenalkan dirinya.

“Sarjan Seremia Vakarusa?”

“Sarjan tentu ingat:

*Bula Malaya kei Viti Talenga,

Cauravou era ya gangga,

Vosa na wei e vaka lasalasa,

Ni bula ni bula kece sara,

Me da sa mai vei kuna tale,

*(Hello Malaya dan Fiji

Pemuda-pemuda kami

Adalah askar yang berani

Mereka gembira

Hello, hello semua....

Teringatlah Fiji...Fiji sangat kecil...)

“Vakarusa, maafkan aku.” Ujar Sarjan Seman. Senyum. Mereka berpelukan ketika busa buih menyapa dan menimpa tebing pantai. “Macam mana kau tahu rumah aku?”

“Aku hubungi persatuan beks perajurit,” Sarjan Seremaia Vakarusa menompang tangan di kepala tangga, “aku bagi nombor tentera kau dan mereka berikan alamat rumah ni.”

Sarjan Seman mengeluh.

“Seman, macam mana dengan Salmah?”

“Salmah?”

iv

“Kita dah tua Rusa,” Salmah bersimpuh di beranda. Pandangannya menjalar pada kaki laut yang biru membiru.

“Tua hanya pada perkataan dan sebutan,” Seremaia Vakarusa duduk di birai tangga. Wajahnya di bayangi bilah daun kelapa gading yang berbuah kuning, “tapi kasih dan sayang saya pada awak tetap seperti dulu, Salmah.”

Bunga-bunga bungkam mengalungi keluhan Salmah.

“Salmah, saya ikhlas.”

Salmah berengsot, “awak tahu dengan keadaan saya’kan?”

“Apa salahnya kita berkongsi masalah.” Tujahan mata Seremaia Vakarusa berhimpun dalam seludang mata Salmah.

Ketika rambutnya terumbai ditiup angin, Salmah menumpang tangan di gelegar rumah. Dia berengsot ke beranda, memandang air laut yang biru membiru menebuk dinding pantai, “Rusa, lupakanlah saja niat awak tu.”

“Tidak Salmah.”

“Awak dah tengok cara hidup saya’kan?” Salmah menyelak anak-anak rambut yang menutupi dahinya. “Perkahwinan orang tua dan lumpuh macam saya ni, tentu menyusahkan awak.”

“Saya dah biasa hidup susah.” Seremia Vakarusa menyangkut topinya di kepala tangga. “Isteri saya yang dulu juga lumpuh.”

Sarjan Seman diam tidak menyampuk. Sesekali dia lingaskan pandangannya pada Salmah dengan bekas Sarjan dari Fiji itu. Perlahan-lahan dia cuba renangi lagu BULA MALAYA dalam kotak ingatannya.

“Biarlah saya di negara saya. Awak di Fiji.” Perlahan ujar Salmah, memandang alunan lembut air laut dan burung-burung menyisir di atas pulau. “Kalau awak teringkatkan saya,” Salmah menyelak anak rambut yang cuba menutup pandangannya, “doakanlah kesihatan saya. Kalau awak sayangkan Tanah Malaysia, ingatlah lagu BULA MALAYA.”

“Salmah, soal sekarang saya...saya...” Tutur Seremaia Vakarusa tergantung di situ.

“Terimalah hakikat bahawa kita takkan bersama.” Perlahan tutur Salmah.
“Kerana warna kulit?” Soal bekas Sarjan Fiji.

“Tuhan jadikan manusia berbagai warna kulit bukan untuk berkecil hati tapi untuk berfikir tentang kebesaran dan kehebatannnya.” Salmah melurut kakinya dengan minyak akar kayu yang panas.

Seremaia Vakarusa meletakkan keluhannya.

“Pulanglah ke Fiji.” Salmah memadang jauh ke dalam mata Seremaia Vakarusa, “ramai teman-teman awak menanti di sana.”

“Salmah, peluh saya banyak tumpah di Tanah Malaysia ni.” Ujar Seremaian Vakarusa antara keluhan dan harapan, “saya...saya rindukan tanah bertuah ni. Kalau awak menolak hasrat saya ini...saya takkan pulang ke Fiji lagi.”

“Rusa?”

Ombak terus berdebur, meletakkan busa buih dan menambah basah butir pasir di dada pantai.

v

*Bula Malaya kei Viti Talenga,

Cauravou era ya gangga,

Vosa na wei e vaka lasalasa,

Ni bula ni bula kece sara,

Me da sa mai vei kuna tale,

*(Hello Malaya dan Fiji

Pemuda-pemuda kami

Adalah askar yang berani

Mereka gembira

Hello, hello semua....

Teringatlah Fiji...Fiji sangat kecil...)

LAGI KARYAKU


CERPEN: DI LEMBAH BARAKAH.


Sudah cukup lama dia tidak kunjungi sejuk lembah barakah. Sejak dia bergelar hartawan, dia seakan jijik untuk lewati laman yang pernah dia tanam pohon hajat dan semai benih tahajjud itu. Sejak namanya merentas separuh daripada muka dunia ini, dia seakan segan untuk memijakki lembah yang pernah dia temui akar-akar witir dan bunga iktikaf, apa lagi untuk mencium harum bunga qiamulail. Dulu, dialah pengutip bunga bunga iktikaf. Dialah yang membersihkan laman terawih. Dialah penghuni lembah barakah yang banyak sekali menyimpan manuskrip sejarah Islam. Dia fasih bercerita tentang pahlawan Islam, Usamah bin Zaid. Al-Ala bin Al-Hadhrami, malah dia juga tahu kisah Utbah Ibn Ghazwan, Tariq bin Ziyad, pahlawan Abdullah bin Masud yang terlibat dalam Perang Badar serta pahlawan Abdullah Bin Rawaha yang terlibat dalam Perang Mu,tah.


Rentetan kisah-kisah wanita syurgawi tetap meniti di kelopak bibirnya. Kisah Umayyah binti Qais Al-Ghifariyah , seorang jururawat ketika dalam peperangan sentiasa segar dan hidup dalam relung ingatannya. Kisah Ummu Sulaim binti Malham, ceritera Sumayyah binti Hubbath yang disiksa bersama anaknya Ammar dan suaminya Yasir oleh Abu Jahal, benar-benar menginsafkan dia, apa lagi dengan citrawara jururawat tauladan Rufaidah Al-Anshariyah yang menjadi idola penyair Ahmad Muharram dalam kumpulan karangannya yang berjudul Al-Ilyazah Al-Islamiyah. Semuanya fasih diceritakan tatakala dia mendiami rumah insaf di lembah barakah.


Waktu dia menjadi penghuni lembah barakah, dia juga pintar berkisah tentang masjid-masjid di Madinah. Malah dia pernah bercerita latar sejarah Masjid Quba, masjid yang terletak di sebidang tanah milik Kalsum bin Hadam. Dia juga tahu titik sejarah Masjid Jumaat, masjid yang berceratuk di Lembah Ranuna. Masjid Khomsah yang tersergam di Khandaq daerah pergunungan Sila’ di pinggir kota Madinah, juga dia fasih arif titik sejarah masjid itu. Masjid Fadhih, Masjid Bani Quraizah, Masjid Masyrobah Ummi Ibrahim, Masjid Ijabah dan Masjid Qiblatin yang mempunyai dua mihrab, kisah Masjid Jabal Uhud, di ceritanya penuh teratur dan teliti.


Telaga-telaga bersejarah di tanah bercahaya itu juga dia simpan sejarahnya. Kisah Telaga Aris pernah di hafal lancar di bibir. Telaga Ghurus, Telaga Raumah, Telaga Bidha’ah, Telaga Anas bin Malik bin Nadhar, malah kisah Telaga Quraidhah juga dia tahu siratan sejarahnya.


Lembah barakah yang mengalirkan air keinsafan dan tulus taqwa sudah lama benar tidak dikunjungi. Laman yang direndai dengan hijau daun doa, taman tahajjud, wilayah witir, dan tanah terawih itu sudah jauh ditinggalkan, apalagi hendak diziarahi. Dia tinggalkan lembah barakah kerana sekelumit harta dan kebun kemewahan. Dia jijikkan tanah barakah kerana kekayaan secebis. Benarlah tutur orang, harta kadang-kadang boleh jadikan manusia palsu. Kini kebun kemewahan yang dipinjamkan sekejap itu sudah ditarik balik dan dia ditamui kemiskinan, lalu dalam guliran air mata yang berkaca, dia kembali bersimpuh dan meletakkan tulus diri di lembah barakah


Longlai langkahnya disusun, menjunamkan hujung kakinya tanpa sepatu ke lembut lembah barakah. Guliran air matanya di batas pipi kelihatan bersinar bila terkena tangkupan cahaya dari bola matahari senja yang melambungkan gabungan warna sayu kuning pinang masak . Ternyata tanah situasi di lembah barakah itu betul-betul mengoyak keangkuhan dan meletakkan ngilu di hatinya. Pokok-pokok bunga yang ditinggalkannya dulu, kini sudah menjadi pohon rendang dengan luahan bunga-bunga indah yang menerbitkan berbagai bau. Luluh hatinya bila bau-bau yang bervariasi itu menusuk kelopak hidungnya.


Tik!


Guliran airmata pertamanya yang sekian lama bertahan di batas pipi, bergolek jatuh ke atas licin dada daun-daun di lembah barakah. Cantik sinar itu masih sama seperti cantik sinar yang pernah ditontonnya ketika dia tinggal di lembah barakah dulu. Perlahan-lahan diangkat guliran airmatanya itu, kemudian dijamahnya penuh sayu. Suam titik itu masih sama seperti yang pernah dijamahnya detik silam. Perlahan-lahan dia bingkas berdiri.


Allah hu akbar, dulu itulah tuturnya yang selalu diucapkan. Bila dia berada di puncak keagungan, ucapan itu cukup jarang terloncat dari lorong kelopak bibirnya. Dan kini dia ucap kembali tutur itu dengan penuh ngilu di ulu hati, bila dia bersimpuh di sempadan kesempitan. Perlahan-lahan dia mengesotkan hujung jari kakinya. Dan kaki yang tidak bersepatu itu di atur longlai ke hilir. Sekuntum bunga segar di lembah barakah tiba-tiba terpangku di ribaannya. Di kutipnya bunga tersebut, ditatap perlahan penuh insaf.


Bunga terawih. Bisik hatinya.


Di tatapnya bunga itu dengan pandangan penuh sayu. Keluhannya tercurah inti insaf. Cukup lama dia tidak memandang bunga yang hanya kembang dalam bulan Ramadan ini. Airmatanya menjurai menimpa kelopak bunga yang lembut itu. Di beleknya kelopak bunga ramadan itu satu persatu.


Kelopak pertama, kelopak taubat. Airmatanya bergulir lagi bila melihat kelopak tersebut. Sepatutnya dia sudah lama membelek kelopak itu, kerana hal-hal taubat sebenarnya sifat yang perlu wujud dalam diri muslim untuk bebaskan diri daripada dosa. Tapi entah kenapa dia tiba-tiba sahaja jadi alpa. Jadi perahu yang tidak berkemudi. Jadi pokok yang tidak bertunjang. Dia akhirnya jadi kiambang yang mengikut anak alur air. Sepatutnya dulu lagi dia mencium bunga ramadan sambil membelek kelopak taubat dan tidak memandang remeh dosa kecil yang mendorongnya melakukan dosa besar. Sepatutnya sudah lama dia muhasabah dirinya, bukan bermegah dengan apa yang dimiliki sambil sedia mengaut rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T. yang melimpah ruah. Dan airmatanya jatuh lagi bertaburan di atas tajam hujung rumput yang menghijau di lembah barakah bila mengatur silap lalunya.


Bingkas berdiri, dengan tangan masih memegang bunga ramadan, dalam longlai tapak yang tidak lagi bersepatu, dia menuju ke hilir lembah barakah. Pandangannya yang berbalam kerana dilitupi airmata penyesalan, disapu dengan perut jari. Isak kecilnya terutus di copeng telinganya. Biarpun perlahan tapi sendat berisi ngilu.

Kelopak ke dua bunga Ramadan diperhatikan. Kelopak istigfar. Tapi lidahnya seakan kekok dan kelu untuk zahirkan ucapan istigfar. Dia tahu. Istimewanya istigfar, tapi entah kenapa, tiba-tiba sahaja tuturnya seakan tertutup dan hilang dalam kerongkong untuk aturkan murni ucapan tersebut. Dia tahu, istigfar mententeramkan hati yang sedih dan berdukacita, menghilangkan kesusahan dan melunaskan rezeki serta menunaikan segala hajat, membersihkan hati daripada lalai dan lupa dan mampu menerima tiap-tiap sesuatu itu dengan ketenteraman iradah dan kudrah Allah. Istigfar juga mengkafarahkan sepuluh dosa, serta menjadi titi untuk menuju Hasanul Khatimah. Tapi semua itu tidak upaya diucapkannya kerana dia sudah lama tidak kunjungi lembah barakah. Dia sudah jauh tinggalkan lembah yang dihiasi dengan bunga-bunga witir, tahajjud dan qiamulail itu. Dia terkepung oleh nafsunya sendiri.

Tik! Gelungsuran airmatanya jatuh lagi menimpa kelopak bunga ketiga. Kelopak ketiga kali ini membawa cahaya sedekah. Dan airmatanya menitis lagi kerana cahaya sedekah yang pernah dipandangnya silam, sudah terpisah dari dalam dirinya. Soal budi dan budiman juga sudah jauh meninggalkan dirinya setelah dia agak lama tidak menziarahi laman barakah.


Kelopak bibirnya dikacip dan dia mengemam lagi airmatanya. Kekesalannya kerana peristiwa silam sudah banyak mengajarnya erti tanda hidup dan kehidupan. Dia pun tidak tahu, kenapa tiba-tiba sahaja dia menjadi manusia yang bencikan lembah barakah, sedangkan dilembah itulah dia selalu bercucuk iman dan bertanam amal. Di subur lembah itulah dia menugal nikmat dan mengutip pucuk-pucuk kenikmatan yang segar menghijau. Barangkali kerana dia disaluti nafsu amarah, dibaji kemegahan lalu dia hindarkan diri dari hadir ke lembah barakah.


Kelopak iktikaf di belek. Ternyata kelembutan kelopak itu sudah lama tidak dijamah. Dan kini dia kembali bertekad untuk menjamah lembut kelopak itu sambil mencium bunga Ramadan setelah cukup lama bunga itu tidak di pandang dan diciumnya. Dulu dialah penghuni masjid di lembah barakah. Dialah yang membaiki kolah di masjid tersebut. Lima kali sehari dia laungkan azan memanggil jemaah mengerjakan solat. Tapi setelah dia berada di puncak dunia, dia tidak lagi memandang rumput di bumi sedangkan dia tahu hijau rumput sebenarnya sebahagian daripada kebesaran Illahi. Kini menara nama yang gah di tunjuk langit kehidupannya, sudah tumbang dan dia tidak perolehi apa-apa kecuali kesalan dan airmata. Lalu bila tiba saat ujian begini, dia cuba bandingkan dirinya dengan rumput. Apa guna jadi pohon besar yang tidak berdaun, baiklah menjadi rumput, meskipun kecil tapi rumput yang terbaik di permatang.


Kelopak iktikaf di usapnya perlahan penuh sayu berbalut ngilu. Tanpa di duga, airmata yang bergulir di pipinya, terhambur di atas kelopak yang lembut itu. Antara iktikaf dan ibadah puasa sebenarnya buah perkara yang lebih menghampirkan seseorang kepada Allah. Untuk memegang kelopak iktikaf, mestilah menggenggam bunga ramadan terlebih dahulu. Tapi kemewahan yang sedikit mengalpakan dia untuk terus memegang bunga ramadan, bunga yng paling di sukai waktu menjaga masjid di lembah barakah.


Kini dia kembali ke lembah barakah dengan guliran airmata dan naskah ngilu di ulu hati. Dipegangnyanya bunga ramadan penuh limpah kasih sayang, dicium penuh idaman, dibiarkan kelopak itu basah terkena guliran airmata insafnya.


(ii)


"Barangsiapa yang mengerjakan puasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan kepada Allah dan benar-benar mengharapkan keampunan, nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu."

Jumat, 09 Oktober 2009

LAGI CERPEN KARYAKU



Baju Bendahara tersiar di dalam DEWAN SASTERA manakala LOK tersiar di dalam majalah MASTIKA. Apa yang ku tulis adalah pengalamanku dan segala fakta yang terkandung di dalam cerpen itu adalah ketabahanku.

ANTOLOGI CERPEN 10 TAHUN


Alhamdulillah. perjuangan silam sudah menampakkan hasilnya. syukur. menulis kadang-kadang seperti menanam pokok kelapa. Dalam masa tujuh tahun jangan diimpikan hasilnya. namun bila pokok itu sudah berbuah, dalam masa tiga puluh tahun masih mampu menikmati buahnya. Malah pokok itu mampu menyara keluarga.

Rabu, 07 Oktober 2009

PESISIR: KILANG YANG DILUPAKAN



PESISIR: KILANG YANG DILUPAKAN.

Sebelum tersohor ada sahaja janji dan tekad yang ditaburkan. Ada yang mahu menjulang PESISIR (Persatuan Penulis Tumpat) setinggi langit. Ada juga yang menanam keyakinan bahawa budi PESISIR tidak akan dilupakan begitu sahaja. Atau kata lain, kacang tidak akan lupakan kulit. Lembu tidak akan lupakan kandang.


Segar rasanya angin pendekar Pengerusi Ayah Weil dengan janji manis berair tebu yang disampaikan anak murid yang bijak dan santun. Rata-rata ayah Weil berbangga dengan kemampuan anak buahnya itu. Justeru, dalam merancakkan bidang kreatif, pelbagai bengkel penulisan kreatif diadakan.


Dari puisi hinggalah kepada drama radio, tv, novel dan cerpen. Lalu bercambahlah penulis PESISIR. Sana sini tumbuh penulis dari persatuan kecil yang besar baktinya itu. Di Pahang ada ahli PESISIR, apa lagi di Kuala Lumpur, Terengganu malah Sabah dan Sarawak termasuk Pattani Thailand. Setiap jajahan ada penulis yang digilap dari kilang yang kecil itu. Di Kota Bharu ada, apa lagi di Pasir Putih, Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas waima Tanah Merah. Macam buah getah meletup!


Setiap penulis yang dihasilkan oleh kilang PESISR gah di persada negara. Karya mereka tersiar di media cetak dan elektronik. Yang cerpen sudah tentu dengan cerpen mereka manakala yang novel pula dengan trilogi dan kompilasi mereka. Tidak kurang juga berpuisi pun dengan antologi mereka.


Ayah Weil tumpang tersohor. Kembang hati dan jantung ‘tokeh’ bnila anak buah sudah ada yang memenangi anugerah negara. Pun adat dunia tertulis begitu. Perahu tidak selamanya di pangkalan. Satu masa akan baik ke darat dan dijual ke tempat lain. Begitu juga dengan si ikan pasu . Tidak selamanya berada di lautan. Ada ketika dan musimnya berada di daratan menjadi hidangan petani dan bangsawan.


Penulis didikan PESISIR sudah tersohor. Berjalan sudah tidak memakai tongkat lagi. Yang buta kreatif telah celik dan mencipta nama sebaris penulis mapan negara. Lalu akhirnya jambatan pun dibakar selepas sampai ke seberang. Di tanya si polan dari manakah asal usul anda, si polan menjawab saya bijak kerana saya usaha. Saya kreatif kerana saya minat sdan saya tersohor atas usaha saya tanpa bantuan sesiapa.


Ditanya lagi, bukankah anda anak mukim PESISIR dan pernah bertemu dalam persatuan itu? Jawab si polan, oh tidak! Itu persatuan penulis daerah. Persatuan untuk orang-orang yang tidak memiliki ilmu pengetahuan global. Saya dari persatuan penulis bertaraf lima belas bintang.


Jawapan itu meluruhkan daging jantung ayah Weil, apa lagi Adiputera dan Ediramlie. Mereka merupakan ‘kasar jantan’ PESISIR. Mengambil mutiara di dalam lumpur, kemudian membasuh dan menggilapnya hingga ke Pattani dan Songkla, mendedahkan mereka dengan jutaan ilmu kreatif, akhirnya dilupakan dan malu untuk menyatakan bahawa mereah adalah pada asalnya produk yang dihasilkan daripada kilang PESISIR.


Aduhai PESISIR, begitulah kehidupan ini. Janji ditabur pamanis mulut. Kacang sudah lupakan kulit dan lembu sudah tinggalkan kandang. Apa pun tahniah PESISIR kerana menjadi bunga kenanga dan cempaka telur yang sentiasa berbau meskipun di musim tengkujuh.

SEJARAH PESISIR


Sejarah dan latar belakang Pesisir

LATAR BELAKANG ORGANISASI

Pesisir atau Persatuan Penulis Tumpat ditubuhkan pada 13 Julai 1981 oleh beberapa orang pengiat sastera di daerah Tumpat. Mereka adalah terdiri daripada Napie Mat, Rozani Yusoff, Ludin Che Mat, Osman Esa, Ghazali Man, Shafie Mamat, Mohamad Salleh, Lee Giok Chun, Asmui Mustafa, Hashim Latiff dan beberapa orang sahabat sastera yang lain .

Pesisir mula diterajui oleh Ketua 1 pertama iaitu wan Mohamad Wan Sulaiman dan setiausaha 1 pertama dipagang oleh Napie Mat yang juga merupakan pengerak utama ke arah mengaktifkan Pesisir pada peringkat permulaan penubuhannya.

REJIMEN ASKAR MELAYU DIRAJA: TRAGEDI SUMUR


TRAGEDI SUMUR

Dalam kejadian Sungai Semur pada 25 Mac, 1950, Platun No. 12 seramai 25 anggota dari Kompeni D, 3 RAMD telah diserang hendap oleh sekumpulan pengganas komunis dengan kekuatan seramai 250 anggota ketika menyusuri sungai tersebut kira-kira jam 10.30 pagi.

Dalam serang hendap di Sungai Semur ini, 17 orang anggota 3 RAMD terkorban dalam pertempuran menentang kira-kira 250 pengganas komunis sementara enam anggota cedera parah sementara dua lagi anggota mengalami cedera ringan. Meskipun tewas, mereka menunjukkan semangat juangn yang tinggi melawan pasukan musuh yang hampir 10 kali ganda kekuatan mereka. Malah mereka berjaya membunuh seramai 29 orang musuh.

Senin, 05 Oktober 2009

ANUGERAH ATAU HADIAH


S

AAT saya bertemu dengan penulis seangkatan, kami berkisah tentang karya yang tersiar. Rupanya sudah melebihi 200 buah cerpennya diterbitkan di media cetak. Tahniah. Karyanya terpampang di dada majalah-majalah elit negara dan seberang selain akhbar arus perdana.

Kemudian kami bercakap lagi perihal novel dan drama radio tapi tidak puisi kerana saya tahu dia kurang menyengat dalam gelanggang itu. Bukan dia tidak menulis puisi namun tenaga kekuatan genre itu tidak menyamai kegagahanya dalam novel, cerpen dan drama radio.

Dia mengatakan sehingga kini, hampir lima puluh buah novelnya telah diterbitkan oleh pelbagai penerbitan gergasi termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka, Alaf 21, Utusan Publications, Creative Enterprise, selain penerbit bidan terjun. Dari novelet hingga ke novel tebal. Dari kisah remaja hingga kepada kisah dewasa.

Aduhai, begitu kreatif sekali sahabat saya itu. Masa dan ruang terluangnya tidak disia-siakan begitu sahaja. Ilmu dan pengalamannya disusun harmoni lewat karya-karyanya. Dia beristiqamah dalam berkarya. Bukan seperti melepaskan batuk ditangga. Kerjanya satu ibadah.

Kemudian saya bertanya lagi tentang penerbitan antologi, hadiah selain sayembara. Dia mengatakan sehingga kini beberapa buah cerpennya bakal diantologikan dan akan diterbitkan oleh penerbit establish di negara ini. Saya cuba menyelongkar perihal hadiah sastera negara atau hadiah-hadiah iringan lain yang mungkin menjadi rahsia dirinya. Dalam senyuman selamba, dengan menggunakan sepuluh jari tangannya, campur satu jari kakinya, dia membilang hadiah yang pernah diraihnya.

Sedar tidak sedar, sudah hampir sepuluh hadiah negara diraihnya, termasuk Hadiah Sastera Perdana katogeri eceran selain Hadiah Sastera Utusan Melayu Public Bank dan banyak lagi. Calang-calang penulis segagahnya dalam berkarya. Biarpun berada di pedalaman, jauh dari kelompok penulis kota yang ‘hebat’ namun sahabat saya itu mampu menghasilkan karya yang baik dan boleh diterbitkan.

Saya bertanya lagi tentang anugerah. Dia terpinga seketika. Anugerah atau hadiah? Soalnya kembali. Saya kata anugerah dan bukan hadiah. Sambil membetulkan kolar bajunya dia menjawab, juga dalam nada selamba dan sinis. Anugerah hanya diberikan kepada penulis yang tidak menulis kerana penulis itu mahu menempa nama. Sedangkan penulis yang sudah menghasilkan ratusan buah cerpen dan puluhan buah novel tidak perlu diberikan anugerah kerana dia sudah memahat namanya di persada sastera negara.

Aduhai, jawapannya sungguh tajam bagaikan seligi. Saya terdiam sejurus dan berfikir apakah benar ujaran itu. Apa pun saya sekadar menduga dan mahu mneggeleteknya. Saya tahu keenakkan dan keempukan karyanya. Membaca karyanya seakan mengajak pembaca mengikuti sama fenomena kehidupan manusia di sarwajagat ini.

Kemudian saya teringatkan beberapa orang karyawan muda yang berjaya ‘mengumpul’ anugerah hanya dengan beberapa buah karya yang tersiar. Lalu saya berfikir. Penulis yang bagaimanakah patut menerima anugerah?

Saat berpisah kami bersalaman dan dia berkata, tanpa anugerah dia tetap juga berkarya kerana penulis yang tekun itu tidak sama dengan penulis yang rajin.