Penderitaan mengajarku erti kehidupan sebenar. kesusahan jadikan aku kreatf. nasihat arwah ayah dan arimata ibu mendidik jiwaku jadi tabah mengharungi gelombang kehidupan yang sendat dengan buah cabaran dan dugaan.

Minggu, 05 September 2010

CERPEN TERBAHARU MINGGUAN MALAYSIA 5.9.2010


TAJUK : WANGIAN RAMADAN.


S

ENI khat khufi dan nasah yang menghiasi dinding Masjid Jamek di tatap sayu oleh mata kendur Tok Adam. Sesekali lelaki berusia lapan puluh enam tahun itu mengemam bibir mulutnya yang mengendur, kemudian menghela deru nafasnya perlahan-lahan. Ketika dia menompang tangannya di birai jendela, wajah desa kelahiran yang sudah ditinggalkannya hampir enam puluh lima tahun itu, rimbun di dalam ladang ingatannya.

Sejenak, lelaki yang berparut di pipi kanan itu teringatkan bilah-bilah kenangan ketika merempuhi kesusahan, saat meredah banjaran gunung Rakhine Yoman, Bago Yoma dan Dataran Tinggi Shan. Jalur peristiwa getir itu terjadi ketika dia melarikan diri dari kekejaman Jepun, sewaktu dipaksa menyudahkan landasan keretapi maut yang telah mengorbankan ribuan nyawa sahabatnya itu.

Jutaan peluh perkasa dan paksa, gugur di tanah Kanchanaburi. Ketika itu kesusahan sewaktu berada di banjaran, gunung dan bukit, bukan dihitung kira lagi. Yang utama, nyawa mesti diselamatkan dari kekejaman tentera berpedang panjang, bengis dan bermata kecil itu.

Sungai Ayeyarwadi, Sungai Thanlwin dan Sungai Sittang muncul lambat-lambat di dalam ingatan Tok Adam. Ketika dia menjamah air di permukaan sungai tersebut, sejuknya merayap ke jari yang pernah bertarung dan menepis tumbukan tentera Jepun, saat dia melompat dan meredah kerawat berduri yang beracun di tepi kem tahanan. Dan sejuk air dari sungai-sungai tersebut seakan sama dengan sejuk air di sungai-sungai yang terbujur di desanya. Sungai Jitung, Kuin, Kuala Jambu dan Pangkalan Haji Wan Jusoh tiba-tiba sahaja mekar dan memaut rindu di dalam ingatannya apa lagi saat deru Ramadan tiba.

Barangkali Sulaiman Pendekar, rakan seperguruan sudah meninggal. Begitu juga dengan Pak Leh Rebana Seratus. Mungkin sudah tidak ada lagi. Rakan-rakan lain seangkatan dan sebaya seperti Ramli Hang Jebat, Husin gasing Pangkah, Mat Yaman Keris, Mat Judin Kelewang, mungkin juga sudah berpindah ke kampung lain, atau mungkin telah menjadi arwah.

Allah hu akbar! Bagaimanalah keadaan desaku sekarang. Barangkali pengajian pondok yang telah aku asaskan dahulu, sudah tidak ada lagi. kalau pun ada barangkalinya sudah tidak diwarisi generasiku. Demikian, bisikan rindu yang ranum dalam ingatan Tok Adam.

Masih menompang tangan dibirai jendela, Tok Adam terkenang lagi sahabat imam dari Masjid Kokhine, Masjid Sanwa, Masjid Getkone, di daerah Twante dan Masjid Zayagone di daerah Kaw Hmu. Rakan-rakan baik sekali. Saat menjelang Ramadan apa lagi tika tiba waktu berbuka, hidangan buah kurma pasti diterimanya dari masjid sahabat yang berdekatan.

Tok Adam memancas lamunannya sewaktu Ma Ell berdehem bebarapa kali berdekatan dengan bilik solat lelaki. Dia berpaling ke belakang. Dengan menggunakan jari terlunjuknya dia menyapu kelopak matanya kemudian dia merenung jauh ke dalam wajah imam muda itu.

“Kenapa tok?” Ma Ell menyapa perlahan. Melihat gurunya memanjangkan lamunan, dia mula dipagut kehairanan. Senaskah al Quran berada di tangannya dan saat dia memerhatikan jauh ke dalam wajah Tok Adam, langit mula menghimpun kabus.

Tok Adam masih memerhatikan khat khufi yang terpaku di dinding masjid. Khabarnya seni itu sumbangan daripada salah sebuah negara Islam. Kemudian dia memegang bahu Ma Ell. Pandangan tulus mereka bertemu dalam tikungan ikhlas mata antara guru dan murid.

“Tok tak sihat” ulang Ma Ell lagi.

Tok Adam tunduk. Gugus-gugus resah berkumpul di papan wajahnya. Seketika, dia menatapi lagi kabus di langit tinggi yang menipis dan cerah kemudian dia berpaling dan merenung biji tasbih yang bergantungan di kepala paku, berhampiran dengan tiang seri masjid.

“Cakaplah tok,” seakan mendesak, itulah yang dikatakan oleh Ma Ell.

Renda kenangan saat remaja di pangkalan pohon jitung membumbui ingatan Tok Adam. Keriangan lewat bermain air dan mandi sungai, apa lagi bila tibanya malam tujuh likur, seringkali berselisih dengan tragedi pahit maung dan ngeri ketika tersiksa di dalam kem tahanan tentera bermata kecil dan berkasut kulit tinggi itu.

“Saya nampak tok gelisah,” teka Ma ell. “Lazimnya bila saat menjelangnya Ramadan, toklah paling gembira sekali. Menjemput rakan-rakan tadarus al quran di masjid kita, selain berkumpul di masjid sahabat.”

Lama Tok Adam mengunci tuturnya. Ditatapinya wajah Ma Ell dengan tatapaan bersirat ihsan. Kemudian dia melukiskan senyuman kecil di bibir dan akhirnya dia menjawab perlahan, “tok teringatkan desa kelahiran. Hampir enam puluh tahun tok tinggalkan tanah kelahiran itu.”

“Tok?” tersentak seketika Ma Ell bila menerima ungkapan itu daripada mulut ikhlas Tok Adam.

“Tahun ni tok nak terawih di kampung kelahiran tok,” demikian tutur ikhlas Tok Adam. Dia masih memegang bahu Ma Ell. Wajah bilal muda itu direnungnya dalam-dalam.

“Tok jangan bergurau,” Ma Ell menelan liurnya.

“Tok tak bergurau,” jelas Tok Adam. Kesan tikaman benet tajam tentera Jepun masih berbekas dilengan kanannya. “Tok rindukan kampung halaman.”

Ma Ell tunduk. Sudah puluhan ribu hari tok gurunya tinggal di desanya sehinggakan tok gurunya itu sudah boleh berbahasa Myamar dengan fasih tanpa pinggirkan bahasa Melayu, sehinggakan ada rakyat di desanya itu sudah boleh menulis dan membaca tersebut. Apa pun hasrat yang baharu didengarnya, cukup meresahkan hatinya apa lagi jemaah. Kerana Tok Adam penduduk di situ sudah bersatu dalam satu ukwah dan berada di bawah payung Islam.

Kerana ikhtiar dan ledakan usaha Tok Adam, syiar Islam marak bagaikan api yang membakar daun-daun kering di pelepah belantara dan kerana lelaki bekas buruh landasan maut itulah juga, ramai penduduk di desanya sudah boleh hafal al-Quran dan sesetengahnya sudah menjadi hafiz.

“Sudah lama tok tak jengok waris di sana. Mungkin sudah ramai yang meninggal,” demikian tutur sayu yang tumpah dari lopak mulut Tok Adam.

“Kalau tok tinggalkan masjid ni, siapakah yang akan imani jemaah terawih?” tanya Ma Ell. Dia seakan di serkup kegelapan bila mengetahui hasrat Tok Adam itu. “Siapa yang akan pimpin tadarus dan para hafiz yang mahu dalami ilmu bacaan Quran?”

“Ma Ellkan ada,” jawab Tok Adam. Dia cuba mengarai tali kenangan sewaktu hari pertama menjejakkan kaki ke landasan maut dan getir Kanchanaburi. “Tok dah boleh berikan keyakinan kepada Ma Ell. Malah lenggok bacaan Ma Ell kadang-kadang melebihi pengalaman tok.”

”Kami masih perlukan tok di sini,” kata Ma Ell. “Kerana tok Ramadan di sini hidup dalam dada jemaah, malah seminggu sebelum menjelang ramadan, jemaah sudah mengatur rancangan untuk sama-sama qiyamullail dan kami mengangkat tok selaku imam besar.”

“Ma Ell, beras padi di bukit tak sama dengan beras padi di sawah meskipun sama-sama putih,” kata Tok Adam. “Suka dan sejuk air sungai Irrawady tak sama dengan sejuk air sungai di bawah pokok jitung apa lagi di Kuala Jambu.”

“Tok, fikirlah sejuta kali. Masih ramai anak remaja di sini yang perlukan pengalaman tok dalam hal ehwal syiar Islam,” kata Ma Ell.

“Tok faham,” kata Tok Adam. “Soal sekarang tok anak jati Tanah Melayu. Kemana saja tok pergi tok tetap anak Tanah Melayu-Malaysia. Tanah kelahiran tok hanya satu sahaja di dalam dunia ni Ma Ell. Tok sayangkan tanah air tok.”

“Jadi tok korbankan jemaah kerana kampung halaman? Tok kecaikan hasrat jemaah kerana ingin menyambung semula hubungan keluarga tok yang sudah puluhan tahun terpisah?” demikian keresahan yang bersarang di dalam diri Ma Ell. Ditatapi lagi wajah gurunya yang berparut di pipi akibat tusukan mata tajam kerawat berduri sewaktu melintasi Kriankrai.

“Tok tak’kan lepaskan nur ni pada Ma Ell kalau ilmu islam dan keislaman itu tidak penuh di dalam dada anak murid tok,” demikian kata Tok Adam. Kisah ngeri di Tamajao, ternyata menikam kembali kenangan yang tersimpan di dalam relung nostalgia.

Ma Ell hanya mendiamkan diri sewaktu mendengar penjelasan daripada Tok Adam. Masih ramai lagi anak murid Tok Adam yang belum khatam al-Quran dan yang mahu dalami ilmu Islam dan hukum hakam. Tetapi keputusan gurunya mengejutkan dirinya apa lagi jemaah. Kemudian Ma Ell berkata lagi, “saya berhajat nak hantar qari dan qariah dalam musabaqah baca al Quran tahun depan di Kuala Lumpur. Namun bila tok ceritakan hasrat ini, kekecewaan muncul dalam diri ni.”

“Jangan putus asa Ma Ell. Allah Maha Mengetahui. Kalau pun tok tidak ada di sini, tok yakin ada penggantinya,” demikian suara hati Tok Adam. Lelaki yang pernah menyelit diri di celah-celah simpang siur peluru maut di Kriankrai itu menyapu dagunya yang berjanggut putih jarang-jarang. “Islam tidak akan malap kalau semua yang ada di sini sanggut julang syiar itu.”

Ma Ell menelan liurnya ketika ungkapan bernas itu menusuk gegendang telinganya. Sesekali dia merenung timbunan kitab dan al-Quran yang berada di dalam almari, bersebelahan tempat guru nya itu bersembahyang. Keresahan dan gundahnya berhimpun di dalam dirinya dan akhirnya dia menghela nafasnya beberapa kali.

“Ma Ell jangan sedih dengan keputusan tok ini,” Tok Adam memegang bahu Ma Ell sekali lagi. Anak muda penghafal al Quran itu dipamur keresahan di wajahnya. “Inilah cubaan terbesar yang bakal Ma Ell hadapi. Kalau Ma Ell cekal hadapi cubaan ini, insya Allah syiar Islam di sini akan terjulang tinggi sampai bila-bila.”

Ujaran Tok Adam menyebabkan Ma Ell bungkam seketika. Kelopak matanya tergenang. Resah hatinya bergerutup bagaikan rebana ubi ditingkah ribuan kali. Antara kecewa dan nestapa silih berkunjung di dalam dirinya. Dia teringkatkan ratusan jemaah yang dahagakan ilmu Islam Tok Adam. Dia terbayangkan jemaah yang tidak keruan dengan pemergian tok Adam dari desanya dan dia teringkatkan segala-galanya. Masih ramai yang belum khatam al Quran. Masih bertaburan yang mahu dipimpin Tok Adam dan masih banyak lagi yang mahu dalami Islam dengan lelaki bekas tahanan Kanchanaburi itu. Dan ribuan masih menanti untuk berpuasa Ramadan dengan Tok Adam.

“Sudahlah Ma Ell,” kata Tok Adam perlahan sahaja. “Jangan fikirkan kesusahan dalam memimpin masyarakat kerana fikiran begitu akan jadikan masyarakat kita lemah. Sebaliknya fikirkan kecemerlangan dan syiar Islam serta tanggungjawab, insyAllah semuanya akan selamat.”

“Kalau tok tinggalkan desa ini bermakna Ramadan kali ini kami tidak lagi nikmati suara imam yang merdu. Qiyaimulaii dan tahajjud bersama, tadarus dengan terjemahannya sekali,” Ma Ell menyapu kelopak matanya. “Bermakna Ramadan kali ini kami hilang segalanya tok?”

“Tidak!” sepatah sahaja jawapan daripada Tok Adam.

“Tapi tok akan tinggalkan desa ini,” sambung Ma Ell lagi. kesedihan terus muncul di bibir mulutnya. “Tok telah bertekad hendak pulang ke kampung halaman. Itu bermakna tok akan tinggalkan kami.”

“Allahkan ada. DIA mampu jaga seluruh semesta alam ini,” kata Tok Adam. “Bila tok tinggalkan desa ini tok yakin ada rahmat dan barakahnya buat penghuni di sini selagi ada kesanggupan Ma Ell pimpim jemaah, selagi jemaah jaga ukhwah, amalkan rukun iman dan islam dan ikuti ajaran al Quran dan hadis.”

Terkedu lagi Ma Ell dengan luahan dan tutur daripda Tok Adam. Resah dan gundah, sedih dan pilu mulai bercambah dan memayungi rasa dan perasaan Ma Ell. Lalu akhirnya dia bertanya, “apakah tepat keputusan dari tok ini?”

“Tok sudah sembahyang hajat dan sunat istiqarah dan akhirnya ini keputusan daripada tok,” kata Tok Adam. “Apa pun Ma Ell kena yakin bahawa Ma Ell adalah pengganti tok yang hebat. Dalam kalangan anak murid di sini Ma Ell mempunyai seribu kelebihan.”

Ma Ell tidak berkata apa-apa bila itu yang diungkapkan oleh Tok Adam. Dia tunduk dan gerimis yang sekian lama menakungi kelopak matanya tumpah perlahan-lahan menimpa permaidani yang memenuhi ruang sembahyang. Kemudian dalam gugus kesedihan tu dia berkata, “Ramadan tahun ini nampaknya tidak lagi semeriah belasan tahun nan lalu.”

Tok Adam juga ikut sama menelan kesedihan sewaktu melihat guyuran airmata Ma Ell. Tasbih keresahan dan kedukaan dibilangnya dengan kenangan silam sewaktu menjadi buruh paksa dan tatakala mendiami Tanah Melayu. Allah hu akbar!

***********

“Assalamualaikum?” Tok Adam menyapa perlahan.

“Waalaikummussalam?” lelaki sebaya Tok Adam tercengang. Kerut-kerut berlapis muncul di pipi dan dahinya. Dia menolak bingkai cermin matanya ke atas. Al Quran yang dibacanya tidak ditutup sebaliknya dia menandakan tempat baca itu dengan melipat di bahagian juring kanan di sebelah bawah. “Saudara cari siapa?”

“Wan Busu,” jawab Tok Adam.

“Wan Busu mana?” tanya lelaki yang baru diganggu bacaannya.

“Wan Busu pendekar,” jawab Tok Adam lagi. Dia merenung jauh ke dalam wajah lelaki yang berada di hadapannya itu.

“Dia sudah lama meninggal,” demikian jawab lelaki yang memakai kepoiah putih berbenang emas.

“Bila?” usul Tok Adam lagi. kesedihan dan rindu pada sahabat seperguruan muncul di dalam memoirnya.

“Hampir lima belas tahun lalu,” demikian jawab lelaki tersebut.

Tok Adam hanya mendiamkan diri. Dia tunduk. Menelan liurnya kemudian mengangkat kepalanya merenung jauh ke dalam wajah lelaki yang berada dihadapannya itu.

“Saudara kenal Wan Busu, tapi saya tak kenal saudara. Wan Busu sepupu saya,” demikian jelas lelaki itu perlahan-lahan. “Siapakah saudara sebenarnya?”

“Adam Jali,” demikian jelas Tok Adam.

“Adam Jali?” lama lelaki bercermin mata putih berbingkai tebal itu cuba mengingati nama tersebut. Berkerut lagi mukanya.

“Adam Jali Pendekar Lawi Ayam dan Kapak Binjai Manis,” sambung Tok Adam.

“Adammm? Kau tak kenal aku?” dia cuba bingkas berdiri, namun kelumpuhan menyebabkan dia terduduk semula.

“Siapa?” Tok Adam bertanya lagi.

“Musa Pak Ngah Haji Mail. Musa Seladang!” sambung lelaki itu lagi.

“Kau Musa?” terkejut Tok Adam.

“Ya Adam,” jawab Musa Pak Ngah Haji Mail.

“Tuhanku! Lama benar kita tidak bertemu Adam,” guyur titik airmata Tok Adam.

“Enam puluh lima tahun Adam,” ujar Tok Adam. Mereka berpelukan dan ada air mata yang berselisih di bahu kedua sahabat yang menjadi tiang seri kampung Kuala Jambu.

“Mimpi apa tahun ni kau berada di sini Adam?” tanya Musa Paknga Haji Mail.

“Aku nak berpuasa di sini,” kata Tok Adam. “Aku nak tadarus dan qiyaimulail bersama rakan-rakan kita yang lain. Meriahkan semula barakah Ramadan, Malam Tujuh Likur ketika usia remaja, puluhan tahun yang lalu.”

“Tuhanku, aku ingatkan kau dah meninggal sewaktu dipaksa Jepun ke Kanchanaburi,” kata Musa Pak Ngah Haji Mail.

“Allah masih panjangkan umurku sehingga kita bertemu kembali walaupun dalam keadaan uzur,” kata Tok Adam.

Mereka berpelukan dengan penuh kasih sayang sahabat. Kemudian Musa Pak Ngah Haji mail berkata, “rakan-rakan kita dah ramai yang meninggalkan kita,” sambung Musa Pak Ngah Haji Mail. Dia menyapu kelopak matanya ketika titisan jernih itu memenuhi kolam matanya yang kendur. “Deraman, baru sahaja seminggu tinggalkan kita. Roni TEbuan, Mamat Geduk, Sahak Tok Bilal, juga sudah meninggal. Berahim Gendang lumpuh macam aku. Semuanya tak sihat. Cuma...”

“Cuma siapa Musa?” Tok Adam seakan mendesak. Wangi angin Ramadan di anjung kampung Kuala Jambu bertiup perlahan, membelai tubuhnya yang sudah enam puluh lima tahun tidak dijamah bayu sesejuk begitu.

“Lijah,” dan itulah ungkapan perlahan sarat resah daripada Musa Pak Ngah Haji Mail.

“Maksudnya?” Tok Adam mengusul.

“Dia masih sihat cuma...” dan tutur Musa Pak Ngah haji Mail terhenti di situ. Dia tunduk dan menyapu kelopak matanya.

“Apa dia Musa?” desak Tok Adam.

“Fikirannya terganggu.” Jelas Musa Pak Ngah Haji Mail.

Tok Adam hanya mendiamkan diri. Dia dipasung rindu dan pilu. Lijah pernah duduk di kemajangan rindu dan kasihnya apa lagi cinta dan sayangnya. Ketika dia diseret tentera Jepun ke Kancanaburi, Lijahlah perempuan serikandi yang menghalangi dan menangisi pemergiannya. Lijah cuba menghalang tentera Jepun dari memaksanya dan akhirnya dia ditempar tentera bermata kecil itu hingga tersungkur. Mulut dan hidungnya berdarah.

“Lijah di mana sekarang Musa?” tanya Tok Adam.

*********

“Lijah, aku, Adam.”

“Adam?” jelingan tajam seakan serabut dan bosan muncul di mata Lijah.

“Aku bawakan kurma buat berbuka,” kata Tok Adam lagi.

“Berbuka?” kebingungan menghimpit fikiran Lijah.

“Inikan bulan Ramadan,” kata Tok Adam perlahan seakan mengarai kenangan zaman remaja.

“Ramadan?”

“Masa kita remaja dulu, kau berikan kurma padaku buat berbuka. Hari ini aku balas kurma tu selepas enam puluh lima tahun kita berpisah,” Tok Adam berkata perlahan. Rambut Lijah yang kusut masai mengerbang ditup angin.

Lijah tidak berkata apa-apa. Lama dia merenung ke papan wajah Tok Adam yang berkerut di sana sini dan berparut.

“Kau tak ingatkan ku lagi Jah?” demikian runtunam rindu Tok Adam.

Lijah mengunci tuturnya. Dia berpaling ke kiri dan kanan.

“Adam, orang yang pernah kau sayangi satu masa dahulu,” jelas Tok Adam.

Pun Lijah masih tidak menjawab. Dia menjeling tajam ke arah Tok Adam.

“Lijah,”

Dalam terketar-ketar bertumpangkan sebatang tongkat kayu langsat, Lijah cuba berdiri. Tubuhnya sudah bongkok sabut. Ternyata dari imej yang ada pada dirinya, dia dibelenggu sejuta masalah.

“Lijah, aku...”

“Jangan ganggu akuuu! Pergiiii!” dalam terketar-ketar Lijah membalingkan tongkat yang berada di tangannya ke arah Tok Adam. Jangan ganggu aku.” Dan Lijah terus berjalan ke kanan, dengan langkahnya yang sudah tidak sekuat zaman remaja, meninggalkan Tok Adam sendirian bersama kenangan rindu yang tidak mungkin kembali lagi.

Tok Adam merenung langkahan itu. Nostalgia yang dijahit rindu kasih zaman wangian Ramadan satu waktu silam sudah lebur digilis masa yang tidak akan kembali lagi. perlahan-lahan titisan airmata tulus ikhlas Tok Adam jatuh menimpa permukaan bumi yang telah enam puluh lima tahun ditinggalkannya.

TAMAT

.


Inilah hasil kerjaku

1 komentar:

MARSLI N.O mengatakan...

Sdr Hashim: Saya jumpa blog ini ketika merayau tanpa tujuan di maya. Saya terkenang kata Sdr dalam salah satu entri yang Sdr tidak pandai memukul canang mengenai karya sendiri. Saya suka ayat ini. Tetapi Sdr tidak perlu pun memukul cangan apa-apa, kerana karya Sdr sendiri sudah cukup menjadi buktinya.

Selamat terus berkarya dari saya.

MARSLI N.O