Penderitaan mengajarku erti kehidupan sebenar. kesusahan jadikan aku kreatf. nasihat arwah ayah dan arimata ibu mendidik jiwaku jadi tabah mengharungi gelombang kehidupan yang sendat dengan buah cabaran dan dugaan.

Sabtu, 26 April 2014

LAYANG-LAYANG


BELUM SIAP

Rasa nak siapkan ilham ini tetapi sampai sekarang masih tergantung. Tak apa. Siap juga karya ini. InsyaALLAH.




Mengutip Sinar



Hashim Latiff





Bab 1

“K
AU yang curi anak-anak ikan Arowana tu!” Ajim bercekak pinggang. Dia merenung ke arah Afkar. Sopiee mengambil seutas tali.
“Jangan tuduh aku macam tu Ajim. Aku tak curi anak-anak ikan tu!” kata Afkar.
“Ahhh! Semua orang nampak. Kau yang masuk makmal komputer!” tuduh Sopiee.
“Sopiee!” terkejut Afkar.
“Kau jangan nak lawan aku. Kalau kau tak percaya kau tanya Chee Man. Kau tanya Chaiwat!” bersungguh kata Ajim.
“Ahhh! kau orang sengaja nak kenakan aku. Nak suruh aku dirotan!” tukas Afkar. Dia berasa benci melihat muka kawan-kawananya itu.   
“Apa pula sengaja Afkar. Kalau kau bersalah kau mesti dihukum!” kata Sopiee.
“Aku tak bersalah! Kau jangan nak naikkan darah aku!” kali ini Afkar bersuara tinggi.
“Ooo, kau nak lawan aku ya?” Ajim mengeling tajam ke arah Afkar.
“Aku tidak nak lawan kau! Aku tak curi anak-anak ikan tu!” Afkar mempertahankan dirinya.
“Soal betul atau tidak kau tanya Cikgu Badrul. Cikgu Badrul yang akan tentukan nasib kau!” Ajim meninggikan suaranya. 
Cikgu Badrul? Berderau darah Afkar ketika mendengar nama itu. Dia berasa sungguh gerun bila mendengar nama Guru Disiplin itu disebut beberapa kali. Pernah Manan dirotan di hadapan perhimpunan kerana kesalahan mencuri kopun pasaria. Begitu juga dengan Zalman. Dia juga pernah dirotan di hadapan perhimpunan juga kerana dituduh mencuri buku tulis di dalam kedai koperasi sekolah.
“kenapa kau diam bila aku sebut nama Cikgu Badrul?” tanya Ajim bernada marah.
Afkar berlalu meninggalkan Ajim dengan Sopiee. Dia tidak mahu bertikam lidah lagi dengan kacang hantu itu. semua orang tahu, dua sahabat itu kaki bangkang di sekolah. Apa sahaja yang dilakukan oleh kawan-kawan, semuanya dibangkang. Ajim dengan Sopiee memandang benci ke arah Afkar.
“Padam muka!” kata Ajim.
“Lain kali bila dia kena begitu dia tak akan buat lagi,” tambah Sopiee.
Ajim tersenyum dengan kata-kata daripada Sopiee itu.
“Nak tunjuk sombong. Mentang-mentanglah menang silat, nak tunjuk hero. Ni! Hero yang sebenarnya,” kata Sopiee megah.
“Sudahlah. Mari kita pergi!” ajak Ajim.
Kedua-dua sahabat itu terus berjalan ke kantin. Afkar pula bersendirian di dalam taman bunga. Lama dia berada di situ, dia melangkah menuju ke perpustakaan sekolah. Masanya dihabiskan di dalam perut perpustakaan itu. Dia membaca buku yang boleh memberikan ketenangan kepadanya. Fikirannya sekarang sudah penuh dengan bayangan mengenai hukuman yang bakal diterimanya daripada Cikgu Badrul. Aku tidak mencuri anak-anak ikan Arowana itu. Anak-anak ikan itu berharga mahal. Aku tidak pernah diajar untuk jadi pencuri. Aku ke sekolah untuk belajar, seterusnya menjadi seorang anak yang pandai. Aku kena tunaikan harapan ayah dan ibuku. Setiap hari ayah dan ibuku memberikan belanja persekolahanku. Aku kena balas jasa itu. Aku bukan pencuri!
Afkar menyapu kelopak matanya. Dia menangis. Dia berasa kesal dengan apa yang telah dikatakan oleh Ajim dengan Sopiee. Usahkan hendak pecahkan akuarium dan ambil anak-anak ikan itu, menjamah akuarium pun tidak berani kerana ruang tempat letak bekas peliharaan itu adalah ruang larangan.
“Afkar,”
Afkar berpaling. Haslan tersenyum. Di tangannya ada dua kotak air. Dia menarik kerusi perpustakaan kemudian duduk di hadapan Afkar.
“Dari mana ni?” tanya Afkar.
“Kantin. Ini aku bawakan air kotak buat kau,” kata Haslan.
“Terima kasih Lan,” ucap Afkar.
Haslan mengeluh. Dia tidak tergamak hendak bertanyakan tentang peristiwa akuarium pecah itu kerana dia tahu, Afkar tidak melakukan kerja itu. Dia tahu. Afkar seorang rakan yang baik. Suka menolong sesiapa sahaja di dalam kesusahan. Tetapi hari ini dia berasa sedih dan simpati bila kawannya itu dituduh sebagai pencuri anak-anak ikan Arowana yang berharga mahal itu.
“Kenapa kau diam? Kau pun tak mahu berkawan dengan aku juga?” tanya Afkar, rendah diri dan sedih.
“Tidak, Kar,” jawab Haslan.
“Habis tu? kenapa kau diamkan diri?”  tanya Afkar. Dia membelek akhbar di hadapannya itu.
“Aku sedih kerana kau dituduh melakukan kerja tu,” kata Haslan.
Afkar tunduk.
“Siapakah pencuri anak-anak ikan itu yang sebenarnya, Kar?” tanya Haslan.



Bab 2: Terkejut


RAMAI pelajar berlari ke arah padang bola. Afkar juga ikut sama berlari ke situ. Setibanya di situ, dia  melihat Kumaresan terbaring di tepi longkang. Kepala Kumaresan berdarah. Bajunya kotor. Kumaresan memejamkan matanya. Afkar terkejut. Pelajar-pelajar lain juga mengeluh. Kesemua mereka tidak berbuat apa-apa. Mereka hanya mendiamkan diri.
“Cepat! Kita berikan pertolongan cemas kepada Kumar,” kata Afkar.
“Pergi!” Ajim menolak tubuh Afkar. Afkar terundur ke belakang.
“Tapi aku...” muka Afkar nampak redup. Marah.
“Pergi pencuri!” kata Sopiee.
“Aku kawan Kumar,” marah Afkar.
“Kawan ke lawan ke, kau tu pencuri, mana boleh berkawan dengan Kumar lagi!” kata Ajim kasar.
“Ahhh!” Afkar menukas.
“Aku kata pergi!” Ajim menolak Afkar sekali lagi. Afkar terjatuh.
“Kan aku dah cakap. Jangan melawan Ajim!” tambah Sopiee.
  Afkar bangkit. Dia merenung ke muka Ajim dengan Sopiee. Mukanya nampak sedih dan kesal.
“Pergi! Pencuri!” kata Ajim lalgi.
Kesemua pelajar memerhatikan ke arah Afkar. Afkar berasa malu bila dipanggil dengan pangiglan itu di depan kawan-kawannya. Aku bukan pencuri! Ajim dengan Sopiee serta kawan-kawan yang lain memberikan pertolongan cemas kepada Kumaresen. Kepala Kumaresen dibalut. Dia diangkat dan diletakkan di atas pengusung lalu diusung ke bilik kecemasan sekolah. Afkar sedih. Dia tidak dibenarkan membantu Kumaresen sedangkan pelajar daripada kaum India itu pernah menolongnya ketika dia terjatuh sewaktu bermain ragbi di sekolah.  
Afkar tidak hiraukan amaran dan kata-kata celupar daripada Ajim dengan Sopiee itu. Dia ikut sama ke bilik kecemasan. Setibanya di situ, Ajim dengan Sopiee bercekak pinggang di muka pintu.
“Nak kemana?” tanya Ajim. Benci.
“Nak tolong Kumar,” jawab Afkar tegas.
“Tak payah!” marah Sopiee. Dia mencebik bibir mulutnya.
“Kenapa?” Afkar merenung ke muka Sopiee dengan Ajim.
“Kamu seorang pencuri. Tangan kamu kotor dan kamu tidask dibenarkan menyentuh tubuh Kumar!” kata Sopiee.
“Ajim, Sopiee, dia kawan aku. Dia pernah tolong aku masa aku cedera dulu. Sekarang dia cedera dan aku kena tolong dia,” kata Afkar.
“Sudah! Sudah! Tak payah cakap banyak. Pergi!” Ajim menghalau Afkar.
Afkar tidak berundur. Dia tidak akan tinggalkan bilik kecemasan itu. Dia hendak melihat Kumaresen. Dia mahu berkongsi kesakitan dengan pemain tengah pasukan ragbi sekolah. Itulah pengorbanan seorang sahabat. Sanggup segala-galnya demi keselamatan sahabat yang baik.
“Pergi! Kalau dah pencuri tu tak payah berlakun jadi baiklah! Kau tu seorang kawan nyang tak bagus!” kata Ajim lagi. Dia masih bercekak pinggang dan tetap akan menghalang Afkar dari menjenguk melihat keadaan Kumaresen yang sedang dirawat oleh Cikgu Hasliza, Guru Kecemasan sekolah.      
“Aku tak akan ikut arahan daripada kau. Aku nak tengok Kumar!” tegas Afkar. Dia melangkah perlahan menghampiri pintu bilik kecemasan.
“Berhenti!” Ajim mendepakan tangannya. Dia seolah-olah mengepung Afkar.
“Tidak!” tegas Afkar. Dia meninjau keadaan Kumaresen.
Ajim dengan Sopiee berpegangan tangan. Mereka terus menghalang pergerakan Afkar. Afkar berasa sungguh kecewa kerana tidak dapat merawat Kumaresen.
“Pergi!” marah Ajis.
Afkar mendiamkan diri. Sekali sekala dia memandang ke kiri dan kanan. Ramai pelajar melihat ke arah dirinya dengan Ajim serta Sopiee.
“Setapak lagi kau melangkah aku akan tumbuk kau!” kata Ajim dalam nada geram.
“Penumbuk kami padu dan boleh cederakan kau!” kata Sopiee. “Kau ingat masa kami tumbuk Suporn. Huh! Pecah dagu pengawas sekolah tu.”
Afkar tidak mahu bergaduh tetapi di dalam masa yang sama dia kasihankan Kumaresen. Dia mahu membalas budi dan jasa anak Balakrishnan itu. Kumaresen seorang sahabat yang baik. Dia tidak pernah berat tulang di dalam menjalankan kerja-kerja yang telah diarahkan. Tiba-tiba pintu bilik kecemasan sekolah dibuka. Dua orang guru mengusung Kumaresen ke kereta yang telah tersedia di tepi kebun bunga sekolah.  Kepala Kumaresen berbalut. Ramai yang mengiringi Kumaresen ke kereta. Afkar mengeluh. Dia tahu. Kumaresen akan dihantar ke hospital untuk mendapat rawatAn lanjut. Afkar berjalan perlahan, kecewa, menuju ke bilik perpustakaan sekolah.
“Afkar!”
“Ada apa, Lan?”
“Cikgu Badrul nak jumpa,” kata Haslan.
“Apa?” dahi Afkar berkerut. 


Bab 3: Saya bukan pencuri, cikgu

R
OTAN sebesar jari kelingking dipegang oleh Cikgu Badrul. Sekali sekala dia memulas misai tebalnya yang terlintang di atas bibir mulutnya itu. Matanya yang tAjim bagaikan seligi batang nibung itu dihalakan kepada mata Afkar. Afkar tunduk kerana dia tidak sanggup hendak menatapi mata Cikgu Dispilin yang berwajah bengis itu.
“Kenapa kamu curi anak-anak ikan Arowana tu?” Cikgu Badrul menumbuk permukaan meja tulisnya.
“Saya tak curi anak-anak ikan tu, cikgu,” jawab Afkar, tergagap. 
“Kamu jangan cakap bohong!” Cikgu Badrul meninggikan suaranya.
“Saya tak cakap bohong, cikgu,” jawab Afkar perlahan.
“Ada pelajar nampak kamu yang curi anak-anak ikan tu!” marah Cikgu Badrul. Ping! Bunyi rotan dipukul di permukaan meja. 
“Tidak, cikgu,” Afkar mempertahankan dirinya.
“Kamu jangan nak menegakkan benang basah. Kamu tahukan anak-anak ikan tu berharga mahal!” marah Cikgu Badrul. Dia bercekak pinggang. Lagaknya macam Jeneral Yamashita hendak memancung kepala musuh. 
“Cikgu, saya tak curi anak-anak ikan Arowana tu. Percayalah cakap saya,” rayu Afkar. Dia merenung ke muka Cikgu Badrul yang nampak bengis itu.
“Kalau tidak kamu siapa yang curi anak-anak ikan tu?” Cikgu Badrul berdiri disisi Afkar. Dia memusing-musingkan rotan yang berada di tangannya itu.
“Saya tak tahu, cikgu,”ikhlas jawab Afkar.
“Kamu pelajar terakhir keluar dari perpustakaan itu,” kata Cikgu Badrul. “Sebaik sahaja kamu keluar dari perut perpustakaan itu, akuarium itu sudah pecah dan anak-anak ikan Arowana telah dicuri.”
“Tapi,” kata-kata daripada Afkar tamat di situ.
“Ajis dan Sopiee tengok kamu yang pecahkan akuarium tu!” itu kata Cikgu Badrul. Ketegasannya jelas melalui suaranya itu.
Ajis dengan Sopiee? Rasa sedih mula memanjati rasa Afkar. Dia tahu. Ajis dengan Sopiee sememangnya sedang menyakiti hatinya. Sejak dia memenangi pertandingan silat tempuhari, Ajis dengan Sopiee menjalankan kerja-kerja yang boleh menyakiti hatinya.
“Baik kamu mengaku, Afkar. Kalau kamu mengaku hukuman itu mungkin boleh diringankan,” kata Cikgu Badrul. Suaraunya parau.
“Saya tak mencuri anak-anak ikan tu, cikgu,” itu yang dikatakan oleh Afkar. “Saya takut hendak melakukan kejahatan. Saya dah berjanji pada ayah dan ibu, saya ke sekolah untuk jadi pandai dan bila besar nanti saya boleh bantu mereka pula.”
Pun Cikgu Badrul tidak berpuas hati dengan jawapan itu. Dia merenung tAjim ke muka Afkar. Baginya, semua itu bukannya keikhlasan hati Afkar. Mungkin dia hanya mahu melepaskan diri dengan memberikan kata-kata yang sebegitu.
“cikgu, saya tak curi anak-anak ikan Arowana tu,” kata Afkar, perlahan, jujur dan ikhlas.
“Kalau kamu tak curi, kenapa Ajim dengan Sopiee ceritakan perkara ni pada saya?” tanya Cikgu Badrul.
“kerana mereka dengkikan saya, cikgu,” kata Afkar. Di dalam dadanya sudah berdegup dengan rasa kegugupan yang amat panjang.
“Dengki? Kenapa?” Cikgu Badrul meninggikan suaranya.
“Sebab saya johan di dalam pertandingan silat. Laman web sekolah kita dah tulis kisah kejayaan saya. Jadi mereka cemburu kerana mereka juga pendekar tetapi tidak berjaya macam saya,” itu kata Afkar.     
Pun Cikgu Badrul tidak boleh menerima alasan itu. Dia tetap dengan keputusannya. Afkar yang telah memecahkan akuarium itu dan orang yang telah melakukan kesalahan mesti dihukum.
“Cikgu, saya tak lakukan kesalahan itu. Saya bukan pencuri,” kata Afkar bernada sedih, sayu dan ikhlas.  
“Kalau begitu saya akan panggil Ajim untuk menjelaskan semua itu,” kata Cikgu badrul.
Afkar tunduk. Kalau Ajim yang dipanggil, sudah tentu dia akan dipersalahkan. Melalui pengumuman sekolah, Cikgu Badrul memangil Ajim. Dalam masa sekejap sahaja, Ajim telah masuk ke dalam biliknya.
“Apa benar kamu nampak Afkar yang mencuri anak-anak ikan Arowana itu?” tanya Cikgu Badrul.
“Ya, cikgu,” jawab Ajim bersungguh.
“Kamu ada saksi?” Cikgu Badrul bertanya lagi.
“Sopiee, Cikgu,” Ajim menjeling benci terhadap Afkar.
“Sekarang dah jelas, Afkar. Kamu yang pecahkan akuarium itu dan mencuri anak-anak ikan Arowana!” Cikgu Badrul menepuk kuat permukaan mejanya. Dia mencerlung benci ke arah Afkar. “Kerana kesalahan kamu telah terbukti dan kamu melanggar disiplin sekolah, kamu akan dihukum di hadapan perhimpunan esok!”
Afkar terdiam.    






Bab 4: Hari yang malang

P
AGI berlangit bersih hari itu seakan mendung di mata Afkar bila dia akan menjalani hukuman di hadapan perhimpunan nanti. Afkar rasakan kejuaraan yang dimenanginya di dalam pertandingan Silat Cantik antara sekolah di dalam daerah, sudah tidak memberikan apa-apa erti kepadanya, bila dia akan dirotan sebentar lagi. Rasa mahu menangis dan meletakkan air mata tulusnya sebaris dengan embun di dada daun-daun di taman bunga sekolah. Biar Cikgu Badrul serta pelajar melihat ketulusannya di dalam bercakap.
Sayang, dia tidak dapat bercakap dengan pepatung dan kupu-kupu di sekolah. Kalaulah dia dapat bercakap, dia mohon kepada haiwan kecil yang cekal itu, supaya memberitahu Cikgu Badrul bahawa dia tidak bersalah. Dia tidak pernah diajar untuk menjadi seorang pencuri. Dia diberi pelajaran dan pendidikan oleh cikgu, ayah dan ibu supaya menjadi seroang anak dan pelajar yang baik, berguna pula buat agama, bangsa dan tanah air.   
Ajim dengan Sopiee serta beberapa orang lagi kawan-kawannya, mula menunjukkan kesombongan masing-masing. Ada yang mengetip jari menandakan bahawa orang bersalah mesti dihukum. Ada yang memerlikan ke arah Afkar dengan menyanyikan lagu-lagu berunsur perlian. Afkar memujuk dirinya supaya tidak cepat melatah. Dia tahu. Satu hari nanti, kebenaran mungkin di sebelahnya bila dia jujur dan ikhlas dalam menyatakan dirinya. Dia tidak mencuri malah melakukan kesalahan juga tidak. Rekod sekolahnya bersih. Selama dia bersekolah di situ, hari ini merupakan hari yang paling malang buat dirinya.   
Makin tinggi matahari di langit. Rama-rama dan pepatung sekolah, terbang dari taman bunga ke termpat berhimpunan. Haiwan kecil itu bertenggek di atas ranting kayu, seakan memerhatikan ke arah tempat perhimpunan. Afkar dapat melihat haiwan itu dengan jelas. Kemudian dia berpaling ke arah kawan-kawan. Haslan tunduk, Uzer mengemam bibir mulutnya. Ping serta Eh Noi juga tidak berkata apa-apa. mereka menanti hukuman dijalankan.
Tepat jam 8.35 pagi, Cikgu Badrul keluar daripada perut biliknya. Dia memegang rotan. Dengan langkah tegas, dia berjalan menuju ke arah tempat perhimpunan. Ramai pelajar berada di situ. Mereka menanti hukuman itu dijalankan. Ada yang mengerutkan dahi bila melihat langkah tegas Cikgu Badrul. Ada yang tunduk, sedih dan gerun. Afkar berwajah sedih. Dia tidak menyangka. Akhirnya dia dihukum di hadapan perhimpunan kerana anak-anak ikan Arowana.
“Kerana kesalahan mencuri anak-anak ikan Arowana yang berharga mahal itu, pagi ini, kamu akan dirotan di hadapan perhimpunan,” itu kata Cikgu Badrul. Suaranya sungguh kasau dan berbunyi tegas.
Afkar sekadar menelan air liurnya. Dia tidak banyak bercakap kerana dia tahu, buat masa sekarang apa pun rayuan dan kata-katanya tidak akan didengari oleh Cikgu Badrul lagi. Cikgu Badrul sudah memutuskan keputusannya. Aku yang bersalah. Demikian bisikan suara kecil Afkar. Sejenak, dia seperti terpandang ke muka Ajim dengan Sopiee. Ajim dengan Sopiee seperti tersenyum ke arahnya. Afkar bersabar. Dia tahu, satu hari nanti Ajim dengan Sopiee akan meminta bantuannya pula.
“Kerana kamu mencuri anak-anak ikan Arowana, maka saya terpaksa merotan kamu sebanyak tiga kali, sebagai pengajaran kepadamu!” kata Cikgu Badrul lagi. Dia mengangkat tinggi rotan yang dipegangnya. “Semua itu sudah ditulis di dalam peraturan sekolah dan sya aterpaksa menjalankan peraturan itu dengan sebaik mungkin!”
Kesemua murid-murid yang berada di tapak pehimpunan mendiamkan diri. Mereka tidak bercakap kerana kalau sesiapa bercakap sewaktu Cikgu Badrul menjalankan tugasnya itu, sudah pasti pelajar itu akan di hukum kerana melanggar disiplin sekolah.
Piut! Bunyi rotan itu dilayangkan tepat ke punggung Afkar. Afkar menggeliat. Sakit dan pedih. Piut! Piut! Dua kali lagi rotan itu singgah di punggung yang berisi itu. Afkar tunduk. Kelopak matanya tergenang. Akhirnya sahabat yang tidak bersalah menjadi mangsa penipuan sahabat berhati jahat. Afkar menangis. Sakit akibat dirotan tidak perlu diceritakan kepada sesiapa. Pedih dan panas seperti terkena sambal lada.
Selepas selesai dirotan Afkar terus berlari menuju ke arah  perpustakaan. Ajim dengan Sopiee bertepuk tangan melihat Afkar menangis. Afkar tidak boleh duduk. Punggungnya terasa pedih. Dia menggosok-gosok punggungnya dengan telapak tangan. Dia masih menangis. Dia hendak duduk tetapi punggungnya terasa sakit seperti terkena besi panas. Isi daging punggungnya seperti dihiris.
“Kar,”
Afkar berpaling.
“Boleh aku duduk di sini?” tanya Haslan.
Afkar tidak menjawab. Dia membuka pintu bilik perpustakaan kemudian berlari keluar.
“Kar! Tunggu dulu!” Haslan mengeluh.  


















Bab 5: Berat sama dipikul


AFKAR mahu melupakan kisah dia dirotan oleh Cikgu Badrul itu. Dia mahu menumpukan seluruh perhatiannya terhadap pelajarannya. Dia mah menjadi seorang pelajar yang pandai. Di dalam peperiksaan nanti, dia mahu meraihj tempat pertama. Dia tidak mahu lagi bercakap pasal anak-anak ikan Arowana, Ajim dan Sopiee. Minggu depan peperiksaan akan bermula. Dia mahu meraih tempat pertama. Kalau boleh dia mahu menjadi pelajar terbaik sekolah. Seminggu selepas peperiksaan akan diadakan pertandingan Silat Olahraga pula. Kejohanan itu dilangsungkan di Pejabat Majlis Daerah. Johan di dalam pertandingan itu akan mewakili daerah ke peringkat negeri. Afkar idam kejuaraan di dalam kejohanan itu nanti.
Afkar duduk di dalam perpustakaan. Dia membaca buku. Mana-mana soalan yang dia tidak faham, dia akan tanya Cikgu Maznah atau Cikgu Mashadi. Kedua-dua Cikgu itu baik dengannya, selalu bimbingnya di dalam setiap tugasan sekolah. Kalau dia tidak faham, dia akan mencuri masa rehat, untuk bertanya, apakah kehendak soalan itu. Dengan cara itu, dia tidak akan berfikir lagi tentang hukuman yang telah diterimanya. Dia tidak berdendam dengan Cikgu Badrul. Cikgu Badrul telah menjalankan tugasannya yang telah dipersetujui oleh Ahli Jawatan Kuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru.
Perpustakaan berhawa dingin itu dipenuhi dengan buku-buku ilmiah, fiksyen dan non-fiksyen. Ramai murid-murid yang menghabiskan masa rehat mereka di dalam perpustakaan. Afkar berasa sungguh gembira sekali kerana kawan-kawan sekolahnya menambah ilmu pengetahuan mereka dengan membaca. Kata Cikgu Fadly, sesiapa yang suka membaca sudah tentu ilmu pengetahuan mereka akan bertambah. Mereka berkemungkinan menjadi orang yang paling pandai di atas dunia ini. Ya Allah1 aku mahu menjadi orang yang paling banjyak ilmu! Bisik hati kecil Afkar.    
Haslan kasihan melihat Afkar. Dia duduk di sisi Afkar. Dia meletakkan sebuku roti di hadapan sahabatnya itu. Dia menjemput Afkar mengunyah sama roti tersebut.
“Terima kasih, Lan,” kata Afkar. Dia merenung jauh ke dalam muka sahabatnya itu. Anak Pegawai Polis itu kelihatan bersih sahaja bajunya, tidak macam dirinya yang terpaksa memakai baju yang sama ke sekolah.
“Makanlah. Kalau kau nak minum air barli, aku boleh tolong belikan,” kata Haslan lagi.
“Tak payahlah, Lan. Aku dah ada dua biji coklat. Aku boleh hilangkan dahagaku dengan coklat-coklat itu,” kata Afkar rendah diri sambil menyapu kelopak matanya yang berair, bila dia terkenangkan kesakitan selepas terkena rotan.
“Jangan macam tu, Kar,” kata Haslan. Dia memerhatikan muka kawannya itu. Sayu bercampur sedih.
“Lan, aku’kan pencuri. Nanti apa pula kata kawan-kawan kita yang lain bila kau berkawan dengan aku,” Afkar meneruskan bacaannya. Sudah banyak dia menambah ilmu pengetahuannya hari ini.
“Aku kenal siapa kau,” kata Haslan. 
“Itu kata kau. Kawan-kawan kita yang lain mungkin tak tahu siapa aku yang sebenarnya,” kata Afkar lagi.
“Mereka kenal, Kar,” jawab haslan.
“Itu kata kau,” Afkar meneruskan pembacaan.
“Sudahlah Lan. Aku bertekad nak dapatkan nombor satu di dalam peperiksaan nanti. Jadi, kalau boleh janganlah ganggu aku lagi,” Afkar bersuara perlahan. Dia menulis sesuatu di dalam buku catitannya.
“Afkar?” terkejut
“Aku anak orang susah. Orang susah hanya tahu kesusahan. Tak macam kau,” kata Afkar lagi.    
Haslan terdiam. Dia bersimpati dengan apa yang terjadi ke atas Afkar. Dia tidak tahu siapakan yang memfitnah kawannya itu. Yang dia tahu selepas Afkar dirotan, Ajim dengan Sopiee seringkali mencanangkan ke seluruh sekolah, supaya jangan berkawan dengan  Afkar. Kenapa Ajim dengan Sopiee berkata begitu. Apa salah Afkar terhadap Sopiee dengan Ajim. Itu yang membingungkan Haslan. Apa pun dia tetap berkawan dengan Afkar. Dia tahu. Afkar seorang yang baik. Dia difitnah.
“Kan, beredrlah dari sini. Nanti kau pula dikatakan berkawan dengan pencuri,” kata Afkar.
Haslan mendiamkan diri. Dia tidak berniat begitu. Dia kasihankan sahabat yang telah menjulang nama baik sekolah di dalam bidang sukan. Hanya kerana anak-anak ikan Arowana, akhirnya dia dirotan dan segala jasanya terhadap pembangunan sukan sekolah, seperti dilupakan. Apa pun Afkar tidak sedih dengan tindakan itu. Mungkin di pihak sekolah, dia sudah bersalah dan orang yang bersalah mesti dihukum.
“Kar, demi sahabat aku akan menyiasat perkara ni,” kata Haslan dalam nada bersungguh.
“Siasat?” terkejut Afkar.
“Aku nak siasat siapakah yang khianati kau,” kata Haslan lagi. dia merenung ke muka sahabatnya itu.
Afkar terdiam.

















Jumat, 25 April 2014

DEWAN SISWA 2013







Cerpen
Seorang Tua Sehelai Bendera




Oleh: Hashim Latiff






R
AYYAN memerhatikan ke arah permukaan rebana besar. Belulang kerbau balau yang menutupi permukaan rebana itu, masih elok dan tidak bergelupas. Suara rebana yang digelarkan anak gajah itu tetap gemersik bunyinya bila ditingkah. Kata Tok Nik Jid, rebana berusia puluhan tahun itu pernah digunakan oleh Pak Ngah Deraman dengan Megat Malik sewaktu mengadakan persembahan dikir rebana besar di Narathiwat. Kini kemeriahan dikir rebana besar itu sudah lama berlalu ditelan zaman apa lagi bila peningkah berpengalamannya sudah lama meninggal dunia. Alat muzik itu kini banyak yang menjadi perhiasan di dalam muzium serta Pejabat Kebudayaan dan Pelancongan. Sesetengahnya pula tersalai begitu sahaja di bawah bangsal beratap daun kelapa kering dan zin buruk.
Simpati dengan alat muzik yang pernah menjadi penghubung silaturrahim di antara dua kampung dari dua buah negara berasingan itu, Rayyan menyimpan tekad dan hasrat mahu mengecat rebana tersebut dengan corak jalur gemilang sempena menyambut Hari Kemerdekaan negara. Ada sesetengah pihak mengatakan bahawa dengan mengecat rebana tersebut bererti Rayyan hendak mengkhianti pusaka peninggalan Pak Ngah Deraman. Namun Rayyan tidak hiraukan semua itu. Dia cukup-cukup sayangkan rebana tersebut dan dalam masa yang sama juga dia cukup-cukup kasihkan kemerdekaan yang dimiliki negara. Rayyan tahu. Tidak mudah hendak mempunyai sebuah kemerdekaan, melainkan dengan deruan darah dan aliran arus airmata setiap rakyat yang bertatah pejuang.      
Saat angin bertiup dan awan bergerak perlahan ke hilir, Rayyan meneruskan niat sucinya itu. Dengan cara mengecat Jalur Gemilang itu, dia dapat mendidik hati dan semangatnya supaya menjaga kemerdekaan yang dimilikki hasil perjuangan hulubalang silam. Jalur-jalur merah dan putih yang dicatkan pada badan rebana itu adalah teguh tekad dan semangatnya pada tanah bertuah ini. Banyak sejarah negara tersimpan di dalam perut kemerdekaan. Ya Allah! Pertahankanlah kemerdekaan yang dimiliki negara ini. Doanya luruh di antara harapan dan tulus.  
Rayyan menyapu peluh yang bersinar di dahinya itu. Dia meneruskan lagi kerjanya, mengecat rebana besar itu dengan lambang Jalur Gemilang. Nilai kemurnian jiwanya, terletak pada kerjanya melukis bendera keramat itu. Bergetar tekadnya mahu menjulang nama negara dan menewaskan sesiapa sahaja yang mahu meruntuhkan tanah kelahirannya.  Dia sudah berjanji pada dirinya sendiri, kalau ada sesiapa yang mahu merosakan rebana besar berlambang bendera Jalur Gemilang itu, orang itu pasti menerima padah daripadanya. Dia tidak takut dengan sesiapa sahaja yang jadi petualang pada negara ini. Dia anak hulubalang, berdarah pendekar bertitih pahlawan!  
Rayyan meneruskan lagi kerjanya. Dengan menggunakan kepandaian dan susunan seni kreatif yang ada di dalam dirinya, dia terus mengecat rebana kesayangannya itu selimpah minatnya. Semangat sayangkan negara, muncul di dalam dirinya, bagaikan timbulnya matahari di ufuk timur. Perlahan-lahan semangat kasihkan kemerdekaan itu merimbun di dalam istiqamahnya dan akhirnya dia tetap ukir tingkah pahlawan di anjung kehidupannya. Malaysia, akan ku pertahankan kemerdekaanmu setulus hatiku kerana tanah kelahiranku hanya ada satu sahaja di dalam dunia ini. Sesiapa sahaja yang jadi petualang pada agama, bangsa dan tanah ini bakal berdepan dengan anak hulubalang ini! Bisik hati kecil Rayyan saat dia mengecat jalur-jalur merah putih di badan rebana besar.
Ada peluh yang bereceran di dada Rayyan. Dia tidak hiraukan dengan eceran itu. Dia terus mengecat rebana tersebut dengan jujur dan semangat jati diri yang berbukit di dalam bukit ketulusan bertindan keikhlasan. Baginya, lukisan Jalur gemilang itu satu pokok petanda bahawa dia ikhlas mahu menjaga kemerdekaan tanah kesayangan ini. Besar nanti, akulah Panglima Perang! Semangat Leftenan Adnan Saidi, Sarjan Jamil, Datok Kanang Anak Langkau, Tok janggut, Mat Kilau, Dato Bahaman, Dato Maharajalela, serta ratusan lagi pahlawan zaman silam, berikan bungkusan setia kasih kalian kepada pewaris kemerdekaan ini!  Ngauman semangat itu beratur lagi di dalam diri Rayyan ketika dia merenung bulan bintang di dada rebana.
“Assalamaualaikum,” satu sapaan menyentuhi gegendang telinga Rayyan.
Rayyan berpaling ke belakang. Dahinya berkerut dan pandangannya tegap ke arah sebatang tubuh berbaju hitam. Lelaki itu menyangkut sebuah beg galas dibahunya.
“Boleh pakcik duduk di sini?” pinta lelaki berusia emas itu. Parut sebesar jari kelingking terlintang di pipi kanannya. 
“Silakan, pakcik,” pelawa Rayyan. Dia meletakkan sebuah kerusi di hadapan lelaki tua berbaju hitam itu.
“Cantik cara anak muda mengecat bendera keramat ini,” kata pakcik itu lagi. Dia duduk di atas kerusi yang telah disediakan oleh Rayyan itu. “Pakcik pernah julang bendera ini puluhan tahun yang lalu.”
“Julang bendera?” sekali lagi Rayyan mengerutkan dahinya. Dia berhenti mengecat rebana. Bingung seketika. Pandangannya penuh ke muka lelaki berusia emas itu. “Maksud pakcik?”   
“Pakcik sayangkan negara bertuah ini. Darah dan peluh pakcik tumpah di merata tanah di bumi Malaysia ini,” kata pakcik itu lagi.
“Saya juga sayangkan negara ini, pakcik. Jadi dengan cara melukis bendera ini, rasa sayang itu makin bertambah,” kata Rayyan. Dia berhenti melukis. Wajah pakcik yang berada di hadapannya itu di renung penuh ikhlas dan tanda tanya.
“Baguslah, anak muda,” jawab pakcik itu lagi. “Kita wajib sayangkan negara kita. Bumi bertuah ini pusaka pejuang silam. Jagalah tanah air ini dan jangan biarkan pejuang silam sedih jika tanah merdeka yang diperjuangkan dengan keringat, darah dan airmata ini jatuh ke tangan orang lain.”
Terdiam Rayyan bila menerima kata-kata berbau semangat dan wasiat itu. Dia menelan liurnya. Berus cat yang berada di tangannya dibaringkan di tepi tin cat yang terletak berdekatan dengan rebana besar. Wajah pakcik yang berada di hadapannya itu direnungnya dalam-dalam.
“Pakcik sudah lalui banyak zaman yang diapit penderitaan. Ramai rakan-rakan pakcik maut di Kriankrai. Ketika itu kami semua dipaksa menyiapkan landasan keretapi maut,” cerita pakcik itu lagi. “Perang telah merubah segala-galanya.”
Rayyan mengamati kisah itu dengan penuh minat dan insaf.  Peluh yang luruh dari dahinya, menimpa baju bahasan yang dipakainya.
“Rakyat mengalami kebuluran akibat kekurangan makanan,” cerita pakcik lagi. “Bekalan beras tak ada dan pakcik terpaksa menanam ibu dan keledek sebagai sumber makanan utama.”
Rayyan melepaskan beberapa lagi gugusan keluhan saat mendengarkan kisah yang diceritakan oleh pakcik itu. Rasa simpati dan pilu pada rakyat yang hidup di zaman sejarah peperangan, jadikan makin semarak tekad dan niatnya mahu menjaga tanah bertuah ini.
“Zaman perang semuanya susah. Paling sedih ada sahabat pakcik yang sebangsa dan seagama menjadi gunting dalam lipatan,” kata Pakcik itu lagi bernada kesal.
Rayyan mengambil iktbar dengan apa yang diceritakan itu. Makin kuat dan kukuh semangatnya mahu mempertahankan negara tercinta ini.
“Zaman darurat, pakcik terlibat dengan perjuangan. Menggalas senjata, meredah bukit dan bukau semata-mata kerana tanahair ini,” cerita pakcik itu lagi.
Rayyan kagum dengan cerita tersebut. Jauh di dalam sudut hatinya itu, dia mengucapkan jutaan syukur kepada pejuang silam yang telah memberikan keamanan dan kemerdekaan untuk dipusakai.
 “Bukan senang hendak wujudkan sebuah keamanan. Nyawa, gugus keringat dan aliran airmata pakcik serta rakan-rakan menjadi taruhan bagi mempusakai keamanan dan kemerdekaan ini kepada anak-anak generasi baru.” Kata Pakcik itu lagi.
Rayyan menyapu mukanya dengan kain basahan. Dia mengamati cerita itu, bukan sekadar hiburan, tetapi menjadikan naskah cerita itu benih keberaniannya. Kini Rayyan sudah tahu bahawa lelaki berusia emas yang berdiri di hadapannya itu sebenarnya bekas seorang pejuang kemerdekaan. Dia sudah menanam azam dan tekad. Dia tetap pertahankan tanah air ini daripada sebarang gangguan. Dia ulangi. Kalau ada sesiapa yang mahu carikkan gebar kemerdekaan ini, harus langkahi teguh tekad dan jitu istiqamahnya terlebih dahulu. Dialah pewaris kemerdekaan ini.
“Bila pakcik tengok anak muda bersungguh mengecat rebana ini dengan Jalur Gemilang, pakcik sudah boleh agak, anak muda pewaris pahlawan,” kata pakcik itu lagi. Beg galas yang tersangkut dibahunya, diriba perlahan-lahan.
Rayyan tidak tahu apakah isi kandungan beg tersebut. Mungkin persalinan sembahyang atau mungkin juga sedikit makanan dan minuman yang dibawanya.
“Anak muda kena isi kemerdekaan ini dengan kerja yang berfaedah. Jangan biarkan pejuang silam bersedih bila melihat tanah air ini bertukar milik. Tidak mudah nak milikki semula kemerdekaan ini bila jatuh ke tangan orang lain,” nasihat Pakcik itu lagi. Biarpun sudah berusia, namun suaranya masih menghimpun ketegasan dan gempa panglima.        
“InsyaAllah, pakcik,” jawab Rayyan. “Ketika ini saya belum lagi menjadi seorang pejuang. Satu masa nanti bila saya jadi seorang pejuang, saya tidak akan lepaskan tanah bertuah ini ke tangan orang lain, walau seinci sekalipun.”  
Pakcik itu tersenyum kecil dengan pengakuan daripada Rayyan. Dia mengeluarkan beberapa keping gambar-gambar kenangan sewaktu Perang Dunia Kedua Ke 2 dan Darurat yang melanda negara. Kemudian pakcik berkata, “tentu ada sesuatu yang boleh anak muda katakan bila melihat gambar ini.”
Rayyan mengangguk. Seketika, dia memerhatikan rebana yang belum siap dicat dengan warna biru. Kemudian dia melihat semula gambar-gambar kenangan itu, penuh tulus, ikhlas,sayu dan simpati.
“Kesemua mereka gugur sewaktu mempertahankan negara. Mereka sahabat pakcik anak muda. Mereka berjuang demi negara yang anak muda diami sekarang ini,” Pakcik menyapu kelopak matanya. “Berpanas dan berhujan, tanpa fikirkan keselamatan diri, demi menghulurkan segugus jasa sejambak budi buat generasi sezaman anak muda.”
Rayyan mendengar kisah itu dengan jujur hati dan ikhlas rasa. Kemudian dia berkata, “terima kasih pakcik kerana berikan kemerdekaan ini kepada kami. InsyaAllah, selaku anak muda, saya tetap pertahankan kemerdekaan ini. Pakcik tentu tahukan. Tanah kelahiran saya hanya satu sahaja di dalam dunia ini.”
“Sama juga dengan pakcik. Tempat kelahiran pakcik di tanah bertuah ini. Sayang, pakcik sudah uzur. Apa pun semangat pahlawan itu tetap subur bagaikan pokok-pokok padi yang subur di permatang tu,” kata pakcik itu lagi.
Rayyan mengangguk. Dia berasa bangga kerana dapat bercakap dengan bekas seorang pejuang. Pengalaman sewaktu mempertahankan negara akan dijadikan iktibar dalam mempertahankan kemerdekaan.
“Masa mempertahankan kemerdekaan tanah air ini pakcik tidak pernah gentar dan rusuh dengan tembakan senapang automatik musuh,”kata pakcik itu lagi. “Ratusan kali pakcik terlibat dengan pertempuran dan setiap kali bertempur terbangkit di dalam diri pakcik bahawa pakcik tidak akan serahkan tanah air bertuah ini.”
Seronok Rayyan mendengar kisah yang telah disampaikan oleh bekas pejuang kemerdekaan itu. Dalam seronok itu dia mengutip seribu iktibar dari kisah yang telah berlaku dan menjadi sejarah negara. kalau boleh dia mahu pakcik teruskan bercerita tentang perjuangan menuntut kemerdekaan kerana dengan kisah itu semangat sayangkan kepada negara dan kemerdekaan semakin menebal di dalam dadanya.
“Pakcik uzur sekarang dan ramai pejuang macam pakcik sudah lama meninggal. Jadi pakcik wasiatkan pada anak muda, jagalah kemerdekaan ini kerana kemerdekaan ini sedikit sekali di dalam dunia ini,”kata pakcik itu lagi, perlahan sambil menyapu kelopak matanya.
Rayyan dikelambui rasa kelam. Dia menuangkan segelas air kemudian menghulurkannya kepada pakcik tersebut. Dalam nada insaf dan simpati, dia berkata,”pakcik, pewaris ini tidak akan biarkan tanah merdeka ini jatuh ke tangan orang lain. Selagi keringat hulubalang bersusun di dalam diri ini,  berkecai tulang bertaburan daging, hulubalang ini tetap pertahankan kemerdekaan yang pakcik berikan ini!”
“Terima kasih anak muda,” kata Pakcik itu lagi. Dia mengeluarkan sehelai bendera Jalur Gemilang kemudian menghulurkannya kepada Rayyan. “Terimalah bendera ini anak muda. Bila tengok bendera ini ingatlan budi dan jasa pakcik serta rakan-rakan yang pernah berjuang di tanah keramat ini, mempertahankan agama, bangsa, negara dan kemerdekaan ini.”
Rayyan mengangguk.
“Tangan yang mengecat bendera Jalur Gemilang sebenarnya tangan yang mampu mempertahankan kemerdekaan ini,” kata pakcik itu lagi sambil menghulurkan sehelai bendera kepada Rayyan.
Selepas memberikan sehelai bendera Jalur Gemilang, lelaki tua itu berjalan perlahan-lahan ke hilir. Rayyan tunduk. Bila dia kembali mendongak, lelaki tua itu sudah hilang dari pandangan matanya. Rayyan mengeluh. Berfikir, siapakah lelaki itu?     



Tamat







PEWARIS


SENDIRI

Suka melukis kerana dengan merenung lukisan sendiri itu akan tambah dunia pemikiranku. Semoga ALLAH memberikan idea yang terbaik buatku selain dunia penulisanku

KARYA IRINGI MENULIS

Inilah karyaku yang ku hasilkan selepas penat menulis. Ianya tidaklah secantik dan sesenai karya orang lain yang sudah memahat nama besar dalam dunia lukisan.