R
|
AYYAN memerhatikan ke
arah permukaan rebana besar. Belulang kerbau balau yang menutupi permukaan
rebana itu, masih elok dan tidak bergelupas. Suara rebana yang digelarkan anak
gajah itu tetap gemersik bunyinya bila ditingkah. Kata Tok Nik Jid, rebana
berusia puluhan tahun itu pernah digunakan oleh Pak Ngah Deraman dengan Megat
Malik sewaktu mengadakan persembahan dikir rebana besar di Narathiwat. Kini kemeriahan
dikir rebana besar itu sudah lama berlalu ditelan zaman apa lagi bila peningkah
berpengalamannya sudah lama meninggal dunia. Alat muzik itu kini banyak yang
menjadi perhiasan di dalam muzium serta Pejabat Kebudayaan dan Pelancongan. Sesetengahnya
pula tersalai begitu sahaja di bawah bangsal beratap daun kelapa kering dan zin
buruk.
Simpati
dengan alat muzik yang pernah menjadi penghubung silaturrahim di antara dua
kampung dari dua buah negara berasingan itu, Rayyan menyimpan tekad dan hasrat
mahu mengecat rebana tersebut dengan corak jalur gemilang sempena menyambut
Hari Kemerdekaan negara. Ada sesetengah pihak mengatakan bahawa dengan mengecat
rebana tersebut bererti Rayyan hendak mengkhianti pusaka peninggalan Pak Ngah
Deraman. Namun Rayyan tidak hiraukan semua itu. Dia cukup-cukup sayangkan
rebana tersebut dan dalam masa yang sama juga dia cukup-cukup kasihkan kemerdekaan
yang dimiliki negara. Rayyan tahu. Tidak mudah hendak mempunyai sebuah
kemerdekaan, melainkan dengan deruan darah dan aliran arus airmata setiap
rakyat yang bertatah pejuang.
Saat angin
bertiup dan awan bergerak perlahan ke hilir, Rayyan meneruskan niat sucinya
itu. Dengan cara mengecat Jalur Gemilang itu, dia dapat mendidik hati dan
semangatnya supaya menjaga kemerdekaan yang dimilikki hasil perjuangan
hulubalang silam. Jalur-jalur merah dan putih yang dicatkan pada badan rebana
itu adalah teguh tekad dan semangatnya pada tanah bertuah ini. Banyak sejarah
negara tersimpan di dalam perut kemerdekaan. Ya Allah! Pertahankanlah
kemerdekaan yang dimiliki negara ini. Doanya luruh di antara harapan dan tulus.
Rayyan menyapu
peluh yang bersinar di dahinya itu. Dia meneruskan lagi kerjanya, mengecat
rebana besar itu dengan lambang Jalur Gemilang. Nilai kemurnian jiwanya,
terletak pada kerjanya melukis bendera keramat itu. Bergetar tekadnya mahu
menjulang nama negara dan menewaskan sesiapa sahaja yang mahu meruntuhkan tanah
kelahirannya. Dia sudah berjanji pada
dirinya sendiri, kalau ada sesiapa yang mahu merosakan rebana besar berlambang bendera
Jalur Gemilang itu, orang itu pasti menerima padah daripadanya. Dia tidak takut
dengan sesiapa sahaja yang jadi petualang pada negara ini. Dia anak hulubalang,
berdarah pendekar bertitih pahlawan!
Rayyan
meneruskan lagi kerjanya. Dengan menggunakan kepandaian dan susunan seni
kreatif yang ada di dalam dirinya, dia terus mengecat rebana kesayangannya itu selimpah
minatnya. Semangat sayangkan negara, muncul di dalam dirinya, bagaikan
timbulnya matahari di ufuk timur. Perlahan-lahan semangat kasihkan kemerdekaan
itu merimbun di dalam istiqamahnya dan akhirnya dia tetap ukir tingkah pahlawan
di anjung kehidupannya. Malaysia, akan ku pertahankan kemerdekaanmu setulus
hatiku kerana tanah kelahiranku hanya ada satu sahaja di dalam dunia ini.
Sesiapa sahaja yang jadi petualang pada agama, bangsa dan tanah ini bakal
berdepan dengan anak hulubalang ini! Bisik hati kecil Rayyan saat dia mengecat
jalur-jalur merah putih di badan rebana besar.
Ada peluh
yang bereceran di dada Rayyan. Dia tidak hiraukan dengan eceran itu. Dia terus
mengecat rebana tersebut dengan jujur dan semangat jati diri yang berbukit di
dalam bukit ketulusan bertindan keikhlasan. Baginya, lukisan Jalur gemilang itu
satu pokok petanda bahawa dia ikhlas mahu menjaga kemerdekaan tanah kesayangan
ini. Besar nanti, akulah Panglima Perang! Semangat Leftenan Adnan Saidi, Sarjan
Jamil, Datok Kanang Anak Langkau, Tok janggut, Mat Kilau, Dato Bahaman, Dato
Maharajalela, serta ratusan lagi pahlawan zaman silam, berikan bungkusan setia
kasih kalian kepada pewaris kemerdekaan ini!
Ngauman semangat itu beratur lagi di dalam diri Rayyan ketika dia
merenung bulan bintang di dada rebana.
“Assalamaualaikum,”
satu sapaan menyentuhi gegendang telinga Rayyan.
Rayyan
berpaling ke belakang. Dahinya berkerut dan pandangannya tegap ke arah sebatang
tubuh berbaju hitam. Lelaki itu menyangkut sebuah beg galas dibahunya.
“Boleh pakcik
duduk di sini?” pinta lelaki berusia emas itu. Parut sebesar jari kelingking
terlintang di pipi kanannya.
“Silakan,
pakcik,” pelawa Rayyan. Dia meletakkan sebuah kerusi di hadapan lelaki tua
berbaju hitam itu.
“Cantik cara
anak muda mengecat bendera keramat ini,” kata pakcik itu lagi. Dia duduk di
atas kerusi yang telah disediakan oleh Rayyan itu. “Pakcik pernah julang
bendera ini puluhan tahun yang lalu.”
“Julang
bendera?” sekali lagi Rayyan mengerutkan dahinya. Dia berhenti mengecat rebana.
Bingung seketika. Pandangannya penuh ke muka lelaki berusia emas itu. “Maksud
pakcik?”
“Pakcik
sayangkan negara bertuah ini. Darah dan peluh pakcik tumpah di merata tanah di
bumi Malaysia ini,” kata pakcik itu lagi.
“Saya juga sayangkan
negara ini, pakcik. Jadi dengan cara melukis bendera ini, rasa sayang itu makin
bertambah,” kata Rayyan. Dia berhenti melukis. Wajah pakcik yang berada di
hadapannya itu di renung penuh ikhlas dan tanda tanya.
“Baguslah,
anak muda,” jawab pakcik itu lagi. “Kita wajib sayangkan negara kita. Bumi
bertuah ini pusaka pejuang silam. Jagalah tanah air ini dan jangan biarkan
pejuang silam sedih jika tanah merdeka yang diperjuangkan dengan keringat,
darah dan airmata ini jatuh ke tangan orang lain.”
Terdiam Rayyan
bila menerima kata-kata berbau semangat dan wasiat itu. Dia menelan liurnya.
Berus cat yang berada di tangannya dibaringkan di tepi tin cat yang terletak
berdekatan dengan rebana besar. Wajah pakcik yang berada di hadapannya itu
direnungnya dalam-dalam.
“Pakcik sudah
lalui banyak zaman yang diapit penderitaan. Ramai rakan-rakan pakcik maut di
Kriankrai. Ketika itu kami semua dipaksa menyiapkan landasan keretapi maut,”
cerita pakcik itu lagi. “Perang telah merubah segala-galanya.”
Rayyan mengamati
kisah itu dengan penuh minat dan insaf. Peluh yang luruh dari dahinya, menimpa baju
bahasan yang dipakainya.
“Rakyat
mengalami kebuluran akibat kekurangan makanan,” cerita pakcik lagi. “Bekalan
beras tak ada dan pakcik terpaksa menanam ibu dan keledek sebagai sumber
makanan utama.”
Rayyan
melepaskan beberapa lagi gugusan keluhan saat mendengarkan kisah yang
diceritakan oleh pakcik itu. Rasa simpati dan pilu pada rakyat yang hidup di
zaman sejarah peperangan, jadikan makin semarak tekad dan niatnya mahu menjaga tanah
bertuah ini.
“Zaman perang
semuanya susah. Paling sedih ada sahabat pakcik yang sebangsa dan seagama
menjadi gunting dalam lipatan,” kata Pakcik itu lagi bernada kesal.
Rayyan mengambil
iktbar dengan apa yang diceritakan itu. Makin kuat dan kukuh semangatnya mahu
mempertahankan negara tercinta ini.
“Zaman
darurat, pakcik terlibat dengan perjuangan. Menggalas senjata, meredah bukit
dan bukau semata-mata kerana tanahair ini,” cerita pakcik itu lagi.
Rayyan kagum
dengan cerita tersebut. Jauh di dalam sudut hatinya itu, dia mengucapkan jutaan
syukur kepada pejuang silam yang telah memberikan keamanan dan kemerdekaan
untuk dipusakai.
“Bukan senang hendak wujudkan sebuah keamanan.
Nyawa, gugus keringat dan aliran airmata pakcik serta rakan-rakan menjadi
taruhan bagi mempusakai keamanan dan kemerdekaan ini kepada anak-anak generasi
baru.” Kata Pakcik itu lagi.
Rayyan
menyapu mukanya dengan kain basahan. Dia mengamati cerita itu, bukan sekadar
hiburan, tetapi menjadikan naskah cerita itu benih keberaniannya. Kini Rayyan
sudah tahu bahawa lelaki berusia emas yang berdiri di hadapannya itu sebenarnya
bekas seorang pejuang kemerdekaan. Dia sudah menanam azam dan tekad. Dia tetap
pertahankan tanah air ini daripada sebarang gangguan. Dia ulangi. Kalau ada
sesiapa yang mahu carikkan gebar kemerdekaan ini, harus langkahi teguh tekad
dan jitu istiqamahnya terlebih dahulu. Dialah pewaris kemerdekaan ini.
“Bila pakcik
tengok anak muda bersungguh mengecat rebana ini dengan Jalur Gemilang, pakcik
sudah boleh agak, anak muda pewaris pahlawan,” kata pakcik itu lagi. Beg galas
yang tersangkut dibahunya, diriba perlahan-lahan.
Rayyan tidak
tahu apakah isi kandungan beg tersebut. Mungkin persalinan sembahyang atau
mungkin juga sedikit makanan dan minuman yang dibawanya.
“Anak muda
kena isi kemerdekaan ini dengan kerja yang berfaedah. Jangan biarkan pejuang
silam bersedih bila melihat tanah air ini bertukar milik. Tidak mudah nak
milikki semula kemerdekaan ini bila jatuh ke tangan orang lain,” nasihat Pakcik
itu lagi. Biarpun sudah berusia, namun suaranya masih menghimpun ketegasan dan
gempa panglima.
“InsyaAllah,
pakcik,” jawab Rayyan. “Ketika ini saya belum lagi menjadi seorang pejuang.
Satu masa nanti bila saya jadi seorang pejuang, saya tidak akan lepaskan tanah
bertuah ini ke tangan orang lain, walau seinci sekalipun.”
Pakcik itu tersenyum
kecil dengan pengakuan daripada Rayyan. Dia mengeluarkan beberapa keping gambar-gambar
kenangan sewaktu Perang Dunia Kedua Ke 2 dan Darurat yang melanda negara.
Kemudian pakcik berkata, “tentu ada sesuatu yang boleh anak muda katakan bila
melihat gambar ini.”
Rayyan
mengangguk. Seketika, dia memerhatikan rebana yang belum siap dicat dengan
warna biru. Kemudian dia melihat semula gambar-gambar kenangan itu, penuh
tulus, ikhlas,sayu dan simpati.
“Kesemua
mereka gugur sewaktu mempertahankan negara. Mereka sahabat pakcik anak muda.
Mereka berjuang demi negara yang anak muda diami sekarang ini,” Pakcik menyapu
kelopak matanya. “Berpanas dan berhujan, tanpa fikirkan keselamatan diri, demi
menghulurkan segugus jasa sejambak budi buat generasi sezaman anak muda.”
Rayyan
mendengar kisah itu dengan jujur hati dan ikhlas rasa. Kemudian dia berkata,
“terima kasih pakcik kerana berikan kemerdekaan ini kepada kami. InsyaAllah,
selaku anak muda, saya tetap pertahankan kemerdekaan ini. Pakcik tentu tahukan.
Tanah kelahiran saya hanya satu sahaja di dalam dunia ini.”
“Sama juga
dengan pakcik. Tempat kelahiran pakcik di tanah bertuah ini. Sayang, pakcik
sudah uzur. Apa pun semangat pahlawan itu tetap subur bagaikan pokok-pokok padi
yang subur di permatang tu,” kata pakcik itu lagi.
Rayyan
mengangguk. Dia berasa bangga kerana dapat bercakap dengan bekas seorang
pejuang. Pengalaman sewaktu mempertahankan negara akan dijadikan iktibar dalam
mempertahankan kemerdekaan.
“Masa
mempertahankan kemerdekaan tanah air ini pakcik tidak pernah gentar dan rusuh dengan
tembakan senapang automatik musuh,”kata pakcik itu lagi. “Ratusan kali pakcik
terlibat dengan pertempuran dan setiap kali bertempur terbangkit di dalam diri
pakcik bahawa pakcik tidak akan serahkan tanah air bertuah ini.”
Seronok
Rayyan mendengar kisah yang telah disampaikan oleh bekas pejuang kemerdekaan
itu. Dalam seronok itu dia mengutip seribu iktibar dari kisah yang telah
berlaku dan menjadi sejarah negara. kalau boleh dia mahu pakcik teruskan
bercerita tentang perjuangan menuntut kemerdekaan kerana dengan kisah itu
semangat sayangkan kepada negara dan kemerdekaan semakin menebal di dalam dadanya.
“Pakcik uzur
sekarang dan ramai pejuang macam pakcik sudah lama meninggal. Jadi pakcik
wasiatkan pada anak muda, jagalah kemerdekaan ini kerana kemerdekaan ini
sedikit sekali di dalam dunia ini,”kata pakcik itu lagi, perlahan sambil
menyapu kelopak matanya.
Rayyan
dikelambui rasa kelam. Dia menuangkan segelas air kemudian menghulurkannya
kepada pakcik tersebut. Dalam nada insaf dan simpati, dia berkata,”pakcik,
pewaris ini tidak akan biarkan tanah merdeka ini jatuh ke tangan orang lain.
Selagi keringat hulubalang bersusun di dalam diri ini, berkecai tulang bertaburan daging, hulubalang
ini tetap pertahankan kemerdekaan yang pakcik berikan ini!”
“Terima kasih
anak muda,” kata Pakcik itu lagi. Dia mengeluarkan sehelai bendera Jalur
Gemilang kemudian menghulurkannya kepada Rayyan. “Terimalah bendera ini anak
muda. Bila tengok bendera ini ingatlan budi dan jasa pakcik serta rakan-rakan yang
pernah berjuang di tanah keramat ini, mempertahankan agama, bangsa, negara dan
kemerdekaan ini.”
Rayyan
mengangguk.
“Tangan yang
mengecat bendera Jalur Gemilang sebenarnya tangan yang mampu mempertahankan
kemerdekaan ini,” kata pakcik itu lagi sambil menghulurkan sehelai bendera
kepada Rayyan.
Selepas
memberikan sehelai bendera Jalur Gemilang, lelaki tua itu berjalan
perlahan-lahan ke hilir. Rayyan tunduk. Bila dia kembali mendongak, lelaki tua
itu sudah hilang dari pandangan matanya. Rayyan mengeluh. Berfikir, siapakah
lelaki itu?
Tidak ada komentar:
Posting Komentar