S |
AAT saya bertemu dengan penulis seangkatan, kami berkisah tentang karya yang tersiar. Rupanya sudah melebihi 200 buah cerpennya diterbitkan di media cetak. Tahniah. Karyanya terpampang di dada majalah-majalah elit negara dan seberang selain akhbar arus perdana.
Kemudian kami bercakap lagi perihal novel dan drama radio tapi tidak puisi kerana saya tahu dia kurang menyengat dalam gelanggang itu. Bukan dia tidak menulis puisi namun tenaga kekuatan genre itu tidak menyamai kegagahanya dalam novel, cerpen dan drama radio.
Dia mengatakan sehingga kini, hampir lima puluh buah novelnya telah diterbitkan oleh pelbagai penerbitan gergasi termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka, Alaf 21, Utusan Publications, Creative Enterprise, selain penerbit bidan terjun. Dari novelet hingga ke novel tebal. Dari kisah remaja hingga kepada kisah dewasa.
Aduhai, begitu kreatif sekali sahabat saya itu. Masa dan ruang terluangnya tidak disia-siakan begitu sahaja. Ilmu dan pengalamannya disusun harmoni lewat karya-karyanya. Dia beristiqamah dalam berkarya. Bukan seperti melepaskan batuk ditangga. Kerjanya satu ibadah.
Kemudian saya bertanya lagi tentang penerbitan antologi, hadiah selain sayembara. Dia mengatakan sehingga kini beberapa buah cerpennya bakal diantologikan dan akan diterbitkan oleh penerbit establish di negara ini. Saya cuba menyelongkar perihal hadiah sastera negara atau hadiah-hadiah iringan lain yang mungkin menjadi rahsia dirinya. Dalam senyuman selamba, dengan menggunakan sepuluh jari tangannya, campur satu jari kakinya, dia membilang hadiah yang pernah diraihnya.
Sedar tidak sedar, sudah hampir sepuluh hadiah negara diraihnya, termasuk Hadiah Sastera Perdana katogeri eceran selain Hadiah Sastera Utusan Melayu Public Bank dan banyak lagi. Calang-calang penulis segagahnya dalam berkarya. Biarpun berada di pedalaman, jauh dari kelompok penulis kota yang ‘hebat’ namun sahabat saya itu mampu menghasilkan karya yang baik dan boleh diterbitkan.
Saya bertanya lagi tentang anugerah. Dia terpinga seketika. Anugerah atau hadiah? Soalnya kembali. Saya kata anugerah dan bukan hadiah. Sambil membetulkan kolar bajunya dia menjawab, juga dalam nada selamba dan sinis. Anugerah hanya diberikan kepada penulis yang tidak menulis kerana penulis itu mahu menempa nama. Sedangkan penulis yang sudah menghasilkan ratusan buah cerpen dan puluhan buah novel tidak perlu diberikan anugerah kerana dia sudah memahat namanya di persada sastera negara.
Aduhai, jawapannya sungguh tajam bagaikan seligi. Saya terdiam sejurus dan berfikir apakah benar ujaran itu. Apa pun saya sekadar menduga dan mahu mneggeleteknya. Saya tahu keenakkan dan keempukan karyanya. Membaca karyanya seakan mengajak pembaca mengikuti sama fenomena kehidupan manusia di sarwajagat ini.
Kemudian saya teringatkan beberapa orang karyawan muda yang berjaya ‘mengumpul’ anugerah hanya dengan beberapa buah karya yang tersiar. Lalu saya berfikir. Penulis yang bagaimanakah patut menerima anugerah?
Saat berpisah kami bersalaman dan dia berkata, tanpa anugerah dia tetap juga berkarya kerana penulis yang tekun itu tidak sama dengan penulis yang rajin.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar