CERPEN: DI LEMBAH BARAKAH.
|
Sudah cukup lama dia tidak kunjungi sejuk lembah barakah. Sejak dia bergelar hartawan, dia seakan jijik untuk lewati laman yang pernah dia tanam pohon hajat dan semai benih tahajjud itu. Sejak namanya merentas separuh daripada muka dunia ini, dia seakan segan untuk memijakki lembah yang pernah dia temui akar-akar witir dan bunga iktikaf, apa lagi untuk mencium harum bunga qiamulail. Dulu, dialah pengutip bunga bunga iktikaf. Dialah yang membersihkan laman terawih. Dialah penghuni lembah barakah yang banyak sekali menyimpan manuskrip sejarah Islam. Dia fasih bercerita tentang pahlawan Islam, Usamah bin Zaid. Al-Ala bin Al-Hadhrami, malah dia juga tahu kisah Utbah Ibn Ghazwan, Tariq bin Ziyad, pahlawan Abdullah bin Masud yang terlibat dalam Perang Badar serta pahlawan Abdullah Bin Rawaha yang terlibat dalam Perang Mu,tah.
Rentetan kisah-kisah wanita syurgawi tetap meniti di kelopak bibirnya. Kisah Umayyah binti Qais Al-Ghifariyah , seorang jururawat ketika dalam peperangan sentiasa segar dan hidup dalam relung ingatannya. Kisah Ummu Sulaim binti Malham, ceritera Sumayyah binti Hubbath yang disiksa bersama anaknya Ammar dan suaminya Yasir oleh Abu Jahal, benar-benar menginsafkan dia, apa lagi dengan citrawara jururawat tauladan Rufaidah Al-Anshariyah yang menjadi idola penyair Ahmad Muharram dalam kumpulan karangannya yang berjudul Al-Ilyazah Al-Islamiyah. Semuanya fasih diceritakan tatakala dia mendiami rumah insaf di lembah barakah.
Waktu dia menjadi penghuni lembah barakah, dia juga pintar berkisah tentang masjid-masjid di Madinah. Malah dia pernah bercerita latar sejarah Masjid Quba, masjid yang terletak di sebidang tanah milik Kalsum bin Hadam. Dia juga tahu titik sejarah Masjid Jumaat, masjid yang berceratuk di Lembah Ranuna. Masjid Khomsah yang tersergam di Khandaq daerah pergunungan Sila’ di pinggir kota Madinah, juga dia fasih arif titik sejarah masjid itu. Masjid Fadhih, Masjid Bani Quraizah, Masjid Masyrobah Ummi Ibrahim, Masjid Ijabah dan Masjid Qiblatin yang mempunyai dua mihrab, kisah Masjid Jabal Uhud, di ceritanya penuh teratur dan teliti.
Telaga-telaga bersejarah di tanah bercahaya itu juga dia simpan sejarahnya. Kisah Telaga Aris pernah di hafal lancar di bibir. Telaga Ghurus, Telaga Raumah, Telaga Bidha’ah, Telaga Anas bin Malik bin Nadhar, malah kisah Telaga Quraidhah juga dia tahu siratan sejarahnya.
Lembah barakah yang mengalirkan air keinsafan dan tulus taqwa sudah lama benar tidak dikunjungi. Laman yang direndai dengan hijau daun doa, taman tahajjud, wilayah witir, dan tanah terawih itu sudah jauh ditinggalkan, apalagi hendak diziarahi. Dia tinggalkan lembah barakah kerana sekelumit harta dan kebun kemewahan. Dia jijikkan tanah barakah kerana kekayaan secebis. Benarlah tutur orang, harta kadang-kadang boleh jadikan manusia palsu. Kini kebun kemewahan yang dipinjamkan sekejap itu sudah ditarik balik dan dia ditamui kemiskinan, lalu dalam guliran air mata yang berkaca, dia kembali bersimpuh dan meletakkan tulus diri di lembah barakah
Longlai langkahnya disusun, menjunamkan hujung kakinya tanpa sepatu ke lembut lembah barakah. Guliran air matanya di batas pipi kelihatan bersinar bila terkena tangkupan cahaya dari bola matahari senja yang melambungkan gabungan warna sayu kuning pinang masak . Ternyata tanah situasi di lembah barakah itu betul-betul mengoyak keangkuhan dan meletakkan ngilu di hatinya. Pokok-pokok bunga yang ditinggalkannya dulu, kini sudah menjadi pohon rendang dengan luahan bunga-bunga indah yang menerbitkan berbagai bau. Luluh hatinya bila bau-bau yang bervariasi itu menusuk kelopak hidungnya.
Tik!
Guliran airmata pertamanya yang sekian lama bertahan di batas pipi, bergolek jatuh ke atas licin dada daun-daun di lembah barakah. Cantik sinar itu masih sama seperti cantik sinar yang pernah ditontonnya ketika dia tinggal di lembah barakah dulu. Perlahan-lahan diangkat guliran airmatanya itu, kemudian dijamahnya penuh sayu. Suam titik itu masih sama seperti yang pernah dijamahnya detik silam. Perlahan-lahan dia bingkas berdiri.
Allah hu akbar, dulu itulah tuturnya yang selalu diucapkan. Bila dia berada di puncak keagungan, ucapan itu cukup jarang terloncat dari lorong kelopak bibirnya. Dan kini dia ucap kembali tutur itu dengan penuh ngilu di ulu hati, bila dia bersimpuh di sempadan kesempitan. Perlahan-lahan dia mengesotkan hujung jari kakinya. Dan kaki yang tidak bersepatu itu di atur longlai ke hilir. Sekuntum bunga segar di lembah barakah tiba-tiba terpangku di ribaannya. Di kutipnya bunga tersebut, ditatap perlahan penuh insaf.
Bunga terawih. Bisik hatinya.
Di tatapnya bunga itu dengan pandangan penuh sayu. Keluhannya tercurah inti insaf. Cukup lama dia tidak memandang bunga yang hanya kembang dalam bulan Ramadan ini. Airmatanya menjurai menimpa kelopak bunga yang lembut itu. Di beleknya kelopak bunga ramadan itu satu persatu.
Kelopak pertama, kelopak taubat. Airmatanya bergulir lagi bila melihat kelopak tersebut. Sepatutnya dia sudah lama membelek kelopak itu, kerana hal-hal taubat sebenarnya sifat yang perlu wujud dalam diri muslim untuk bebaskan diri daripada dosa. Tapi entah kenapa dia tiba-tiba sahaja jadi alpa. Jadi perahu yang tidak berkemudi. Jadi pokok yang tidak bertunjang. Dia akhirnya jadi kiambang yang mengikut anak alur air. Sepatutnya dulu lagi dia mencium bunga ramadan sambil membelek kelopak taubat dan tidak memandang remeh dosa kecil yang mendorongnya melakukan dosa besar. Sepatutnya sudah lama dia muhasabah dirinya, bukan bermegah dengan apa yang dimiliki sambil sedia mengaut rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T. yang melimpah ruah. Dan airmatanya jatuh lagi bertaburan di atas tajam hujung rumput yang menghijau di lembah barakah bila mengatur silap lalunya.
Bingkas berdiri, dengan tangan masih memegang bunga ramadan, dalam longlai tapak yang tidak lagi bersepatu, dia menuju ke hilir lembah barakah. Pandangannya yang berbalam kerana dilitupi airmata penyesalan, disapu dengan perut jari. Isak kecilnya terutus di copeng telinganya. Biarpun perlahan tapi sendat berisi ngilu.
Kelopak ke dua bunga Ramadan diperhatikan. Kelopak istigfar. Tapi lidahnya seakan kekok dan kelu untuk zahirkan ucapan istigfar. Dia tahu. Istimewanya istigfar, tapi entah kenapa, tiba-tiba sahaja tuturnya seakan tertutup dan hilang dalam kerongkong untuk aturkan murni ucapan tersebut. Dia tahu, istigfar mententeramkan hati yang sedih dan berdukacita, menghilangkan kesusahan dan melunaskan rezeki serta menunaikan segala hajat, membersihkan hati daripada lalai dan lupa dan mampu menerima tiap-tiap sesuatu itu dengan ketenteraman iradah dan kudrah Allah. Istigfar juga mengkafarahkan sepuluh dosa, serta menjadi titi untuk menuju Hasanul Khatimah. Tapi semua itu tidak upaya diucapkannya kerana dia sudah lama tidak kunjungi lembah barakah. Dia sudah jauh tinggalkan lembah yang dihiasi dengan bunga-bunga witir, tahajjud dan qiamulail itu. Dia terkepung oleh nafsunya sendiri.
Tik! Gelungsuran airmatanya jatuh lagi menimpa kelopak bunga ketiga. Kelopak ketiga kali ini membawa cahaya sedekah. Dan airmatanya menitis lagi kerana cahaya sedekah yang pernah dipandangnya silam, sudah terpisah dari dalam dirinya. Soal budi dan budiman juga sudah jauh meninggalkan dirinya setelah dia agak lama tidak menziarahi laman barakah.
Kelopak bibirnya dikacip dan dia mengemam lagi airmatanya. Kekesalannya kerana peristiwa silam sudah banyak mengajarnya erti tanda hidup dan kehidupan. Dia pun tidak tahu, kenapa tiba-tiba sahaja dia menjadi manusia yang bencikan lembah barakah, sedangkan dilembah itulah dia selalu bercucuk iman dan bertanam amal. Di subur lembah itulah dia menugal nikmat dan mengutip pucuk-pucuk kenikmatan yang segar menghijau. Barangkali kerana dia disaluti nafsu amarah, dibaji kemegahan lalu dia hindarkan diri dari hadir ke lembah barakah.
Kelopak iktikaf di belek. Ternyata kelembutan kelopak itu sudah lama tidak dijamah. Dan kini dia kembali bertekad untuk menjamah lembut kelopak itu sambil mencium bunga Ramadan setelah cukup lama bunga itu tidak di pandang dan diciumnya. Dulu dialah penghuni masjid di lembah barakah. Dialah yang membaiki kolah di masjid tersebut. Lima kali sehari dia laungkan azan memanggil jemaah mengerjakan solat. Tapi setelah dia berada di puncak dunia, dia tidak lagi memandang rumput di bumi sedangkan dia tahu hijau rumput sebenarnya sebahagian daripada kebesaran Illahi. Kini menara nama yang gah di tunjuk langit kehidupannya, sudah tumbang dan dia tidak perolehi apa-apa kecuali kesalan dan airmata. Lalu bila tiba saat ujian begini, dia cuba bandingkan dirinya dengan rumput. Apa guna jadi pohon besar yang tidak berdaun, baiklah menjadi rumput, meskipun kecil tapi rumput yang terbaik di permatang.
Kelopak iktikaf di usapnya perlahan penuh sayu berbalut ngilu. Tanpa di duga, airmata yang bergulir di pipinya, terhambur di atas kelopak yang lembut itu. Antara iktikaf dan ibadah puasa sebenarnya buah perkara yang lebih menghampirkan seseorang kepada Allah. Untuk memegang kelopak iktikaf, mestilah menggenggam bunga ramadan terlebih dahulu. Tapi kemewahan yang sedikit mengalpakan dia untuk terus memegang bunga ramadan, bunga yng paling di sukai waktu menjaga masjid di lembah barakah.
Kini dia kembali ke lembah barakah dengan guliran airmata dan naskah ngilu di ulu hati. Dipegangnyanya bunga ramadan penuh limpah kasih sayang, dicium penuh idaman, dibiarkan kelopak itu basah terkena guliran airmata insafnya.
(ii)
"Barangsiapa yang mengerjakan puasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan kepada Allah dan benar-benar mengharapkan keampunan, nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu."
Tidak ada komentar:
Posting Komentar