Penderitaan mengajarku erti kehidupan sebenar. kesusahan jadikan aku kreatf. nasihat arwah ayah dan arimata ibu mendidik jiwaku jadi tabah mengharungi gelombang kehidupan yang sendat dengan buah cabaran dan dugaan.
Jumat, 23 November 2007
CERPEN YANG TERSIAR DI MINGGUAN MALAYSIA
PEREMPUAN DARI KOTA SYURGAWI.
PEREMPUAN 1
Debu-debu yang beterbangan dari tanah Khaibar bukan boleh menyurutkan tekadku untuk menumbangkan musyrikin. Tajam panah serta pintar pemain pedang musuh, sebenarnya sesuatu yang tidak baru dan tidak menarik lagi bagiku dan aku tidak gentar dengan petah pantas permainan itu. Telah banyak aku memasuki medan pertempuran dan aku melihat dengan mata hatiku bahawa kemenangan di bahu kananku dan bukan ketewasan. Dan aku yakin saungguh-sungguh. Kali ini juga aku akan menang kerana tanah Khaibar sebenarnya untuk ku.
Akan ku tentang musyrikin kalau pun tidak dengan panah dan pedang mungkin dengan batu tetapi batu yang terbaik dari Bukit Uhud. Aku akan pancung musuh kalau pun tidak dengan pedangku mungkin dengan dengan pedang milik Tariq Bin Ziyad. Akan aku panah musyrikin kalau bukan dengan panah dari suamiku, aku akan gunakan panah kepunyaan Saad Bin Ubaid. Kalau tidak ada panah kepunyaan Saad Bin Ubaid akan aku gunakan pedang milik Abdullah Bin Rawahah. Kalau pedang milik Panglima yang gagah itu juga tidak ada, aku akan gunakan pedang milik Saidina Hamzah. Biar musyrikin tahu. Islam gah bukan kerana seorang pahlawan. Serikandi mereka sebenarnya ramai dan aku antara srikandi itu yang akan memancung kepala musyrikin seorang demi seorang. Gemilang pahlawan Islam itu sentiasa hidup di dalam hatiku. Cemerlang mereka menjadikan aku bersemangat untuk turun ke tanah Khaibar. Telah lama aku iqrakan di dalam hati. Tanah Khaibar tetap milik ku walapu apa pun yang terjadi.
“Kau tak takut dengan musuh?” soal sahabat. Ada peluh di dahinya ketika debu-debu beterbangan memenuhi mukanya.
“Tidak!” jawab perempuan dari tanah Khaibar. Ada juga peluh bergantungan di dagunya.
“Mereka pemanah yang tepat. Apa lagi pantas bermain pedang,” sambung sahabat lagi.
“Manusia tetap dengan kekurangan dan kelemahannya. Akan aku gunakan peluang tu untuk jadikan kemenangan tu miliku,” sambung perempuan dari tanah Khaibar itu lagi. Dia memegang hulu pedang kemas-kemas sepertimana dia memegang kepala musuh yang bakal dipancungnya.
“Panah...”
“Akan ku himpun panah musuh. Aku akan patah-patahkan panah mereka kemudian aku akan sumbat panah tersebut ke bawah dapur buat memasak gandum bagi dihidangkan kepada suamiku dan pahlawan yang hebat di medan peperangan,” kata perempuan dari tanah Khaibar itu lagi.
Sahabat diam cuma. Sambil mengacip bibirnya dia melepaskan keluhan kecil. Sesekali dia merenung pedang yang tersisip di pinggang perempuan yang memiliki kemahiran memanah serta ilmu kejururawatan itu. Langit jernih jilah walapun sesekali ada debu beterbangan melintas muka mereka.
“Ambillah ini.”
“Kurma?”
“Kurma ni dibagikan kepada setiap pahlawan Islam.”
“Tapi...”
“Makanlah. Ada barakah di dalam kurma ni.”
Perempuan dari tanah Khaibar mengeluh. Peluh yang bergantungan di dagunya gugur ke dalam debu dan batu.
“Iqralah dalam hati bahawa perjuangan penuh tertib dan sopan ni sebenarnya milik Islam dan bukan milik agama lain,” sambung sahabat lagi.
Perempuan dari tanah Khaibar menelan liurnya.
“Setiap pahlawan memakan kurma ni,” sahabat membiarkan peluh bergantung di dagunya.
Perempuan dari tanah Khaibar tersenyum. Ternyata ungkapan dari sahabat yang terluka di bahu adalah sesuatu yang benar dan jujur. Tanpa berlengah dia memakan buah kurma tersebut. Saat dia menikmati isi kurma itulah ada panah-panah jauh yang datang dan mencucuk batu serta tanah-tanah di kawasan rehatnya.
Tanpa berlengah perempuan dari tanah Khaibar dan sahabat memancas panah-panah tersebut dengan kemahiran pedang mereka dan sahabat akhirnya terkena tusukan panah di dada.
Tidakkkk!
Ada airmata gugur di tanah Khaibar. Ya Allah. Batu-batu di Bukit Uhud akan aku jadikan peluru buat menamatkan langkahan musyrikin. Allah Hu akbar. Ummu Ziyad Al-Asyja’yah! Nama mu hidup dalam nur Islam kerana cekal hatimu seperti batu-batu di Bukit Uhud.
Perempuan 2.
Karbala! Satu lagi medan menguji kukuhnya hati wanita syurgawi. Debu dan rimbun ribut pasir sebenarnya ujian yang harus ditempuhi dengan nyawa dan airmata.
“Kesatlah airmatamu wahai anakku,”
“Ayah...”
“Kepergianku daripadamu terlalu panjang,”
“Tapi...”
“Simpanlah sedikit airmatamu untuk hari esok kerana hari esok itu tidak jauh.”
Perempuan yang pandai bersyair dan hebat di dalam bidang sastera itu mendiamkan diri sejenak. Di renung jauh ke dalam mata ayahnya yang ditabiri peluh perjuangan dan rembesan airmata. Terpamur keikhlasan hati seorang pejuang yang pantas bermain pedang dan hebat menunggang kuda sambil memanah. Terpantul keikhlasannya untuk menewasakan musuh kerana dia tahu. Karbala adalah sebuah laman yang sepatutnya berada didalam genggaman Islam.
“Kau tak gentar dengan tajam mata pedang musuh?”
“Tidak!”
“Kau ingat dengan syairmu akan dapat menewaskan musuh?”
“Kalau ALLAH qadakan permintaanku, InsyaALLAH.”
“Kau lihat gugurnya ayahmu?”
Dia menganggukkan kepalanya beberapa kali.
“Kau tak gentar untuk hadapi mereka?”
“Yang aku gentar adalah ketidaksempurnaan janjiku terhadap ALLAH.”
Sahabat hanya mendiamkan diri. Di renung jauh ke dalam wajah sahabat bermata pahlawan dan penyair itu. Biarpun ada kesedihan dan kristal duka di wajah itu namun sahabat yakin. Satu waktu kemenangan tetap berada di pihak Islam.
“Akan aku jadikan guguran itu satu wadah perjuanganku,” janji penyair.
Sahabat diam. Diperhatikan panah yang berada di tangannya. Ternyata ada darah di panah tersebut. Barangkali darahnya yang menitis menimpa bilah-bilah panah yang tajam meruncing di dalam genggaman tangannya atau barangkali juga panah itu dikutip dimedan pertempuran. Mungkin juga panah itu kepunyaan kaum musyrikin yang telah menebuk badan atau bahu teman seperjuangannya.
Ayahndaaaa! Sesungguhnya orang yang seperti cahaya, yang menerangi segala-gala, telah terbunuh di Karbala, dan tubuhnya tidak dikuburkan, dahulu engkau laksana gunung, yang aku berlindung kepadanya, dan engkau dampingi kami, sebagai keluarga dan dalam agama, siapa lagilah yang mengambil berat, kepada anak-anak yatim dan para peminta, siapa lagilah, yang mengayakan tempat berlindung, si orang miskin yang tidak berdaya.
Sukainah Al Husin! Sastera dan sayu syairmu rimbun dalam dada pejuang Islam yang syahid di Karbala.
PEREMPUAN 3
“Kalau dapat ku himpunkan kesemua airmata ni, akan ku berikan airmata ni padamu suamiku buat menghilangkan dahaga.”
Apa lagi yang mampu suami berikan buat membalas tutur baik daripada isteri yang tertambat dengan rantai besi di tengah saujana padang luas berhangatkan cahaya matahari dan batu bukit selain dari jutaan kesyukuran. Apa lagi yang upaya isteri nyatakan selain dari itulah ungkapannya.
Bila sudah tertawan oleh musuh, bukan mudah untuk melepaskannya walaupun musuh itu pada satu ketika adalah sahabat baik kita sendiri. Itulah dunia. Kalau hidup bertumpangkan nafsu, akhirnya benda yang baik jadi keliru. Kalau hidup ditumpangi kejahatan dan iri hati, akhirnya menjadi duri menikam diri.
“Tuhan! Tolonglah hambamu ni,”
“Sabarlah suamiku,”katanya perlahan penuh simpati dan nestapa. “Aku juga sepertimu. Dirantai dan mungkin juga dibunuh kejam oleh musuh yang pernah jadi sahabat kita.”
“Ohhh!”nada kesal tercetus di bibir suami ketika rantai besi menjadi makin panas dibakar cahaya matahari tinggi.
Tanpa sebarang perteduhan cuma sesekali ada awan mendung yang melindungi tubuh mereka dilangit jauh, siksaan demi siksaan terus diterima tanpa sedikit ihsan. Barangkali itulah manusia jalang berhati setan yang bencikan Islam. Barangkali itulah rupa lelaki yang bakal dibunuh oleh tentera Islam satu ketika nanati. Apakah dengan penyiksaan ini akan berkahir Islam di bumi Illahi ini? Atau penganutnya akan bertempiaran lari kerana takutkan penyiksaan ini?
Tidak!
“Siksaan ni hanya akan melukai tubuhku tetapi tidak melukai iman dan tekadkuuu!” ujar si isteri berhati perkasa.
“Apa?” marah si tukang penyiksa.
“Bola besi dengan baju besi ni tidak akan memurtadkan kami!” tambah si isteri yang berjiwa wira.
Makin marah tukang penyiksaan. Dengan matanya berbolakan api dia terus menyiksa. Namun si isteri hatinya kukuh melebihi hati suami. Dia tidak menyebut perkataan lain selain dari ALLAH HU AKBAR! Dia tidak mahu pesongkan aqidahnya dengan penyiksaan ini. Barangkali dia di jemput maut kalau dilihat dari penyiksaan yang dilakukan oleh bekas sahabatnya itu.
Namun dia redha. Keredhaan itu kerana dia tahu. Islam itu agung. Islam itu indah dan sempurna. Islam bukan agama keganasan. Yang ganas itu bukannya Islam.
“Kembaliah kau pada kami dan penyiksaan ini akan berakhiR!” itu yang dikatakan oleh tukang penyiksa. Mukanya merah padam seolah-olah sedang memakan api.
“Tidak!” jawab si isteri sambil menggemgagam tangan suami.
“Kau akan jadi seperti burung-burung yang dipanah tu,” tukang penyiksa membuat bandingan. “Kau akan ditinggalakan begitu sahaja tanpa apa-apa kecuali dimakan ulat.”
“Satu hari nanti kejahatanmu akan terbalas!” sanggah perempuan berhati wira. Ada darah di lengannya dan kulit betisnya bergelupas. Mungkin daging betisnya telah masak kerana baju besi dan bola besi. “Kejahatanmu akan tambah takwa akuuu!”
“Nah!”tukang penyiksaan memukul si isteri dengan bola besi.
“Allah hu akbar!” itu yang diungkapkan dibibir si isteri cekal berhati waja.
“Cukuplah dengan penyiksaan terhadap keluarga kami,” ujar si suami penuh nestapa dan ngilu.
“Tidak!” sanggah si tukang penyiksa. Diangkat tinggi bola besi kemudian di pukul kuat di betis suami.
“Ya Allah!”ungkapan itulah yang kekal di dalam hati dan diri si suami berhati perkasa.
“Nah!”
“kan aku dah cakap! Penyiksaan ini akan tambah imanku!” tukas si isteri lambat-lambat sambil kedua belah telapak tangannya merasal batu-batu yang berada di bawah dadanya.
Tukang penyiksaan tersenyum. Tombak diangkat tinggi dan akhirnya dibenamkan di dada isteri setia.
Sumayyah! Kaulah sebenarnya motivasi jihad buat generasi mendatang!
PEREMPUAN 4
Tanah Uhud hak aku! Bukan hak Quraisy. Bukan milik musyrikin. Tanah Uhud adalah lambang kehebatan Islam. Bukan aku hendak bermegah dengan apa yang aku katakan di sini. Tetapi itulah aku. Bermain pedang dan menjamah darah musuh sudah biasa bagiku.
Musailamah!
Kaulah petualang di bumi Arab. Akan ku tentangmu kerana kau telah lakukan dosa terhadap ku. Kau telah khianati Islam. Kau telah cemarkan keindahan Islam. Kaulah yang telah membunuh puteraku Hubaib!
Aku telah berjanji pada diriku dan suamiku, Zaid bin Ahsim. Aku akan tentangmu dan aku sendiri akan pancung kepalamu. Biarpun aku mungkin terkorban, tapi aku puas kerana aku telah tunaikan apa yang telah aku simpan di dalam hati.
Aku sudah banyak pengalaman perang. Tanganku terpotong kerana perang Yamamah. Aku tidak kisah di gelar srikandi bertangan satu. Realitinya begitu. Bertangan satu bukan bermakan aku akan tewas. Yang satu itu ada hebatnya. Tuhan taqdirkan aku bertangan satu dan dalam masa yang sama Tuhan kurniakan aku jitu hati srikandi. Akan aku gunakan kejituan itu untuk Islam. Akan aku gabungkan penderitaan ku bersama duka suamiku ketika aku hadapi Musailamah.
Musailamah! Bersedialah kau untuk rasa sakit dan derita dari ibu dan isteri seorang pahlawan.
“Dengan tanganmu yang satu, kau akan tentang munafik tu?”
“Telah aku tekadkan dalam hatiku begitu,” ujarnya. “apa yang ku tekadkan itulah yang akan aku persembahkan. Aku akan tuntut bela di atas kematian anaku.”
“Aku faham,”
“Kalau kau faham kau tak sepatutnya simpan bimbang di dalam hatimu,”
“Aku tak bimbang cuma...”
“Kerana aku bertangan satu?”
Sahabat hanya upaya lontarkan keluhan.
“Ternyata ada gundah dalam hatimu,”
Sahabat mengeluh lagi.
“Akan aku buktikan bawa apa yang terluka di Yamamah akan aku ubati di Uhud nanti,” janjinya penuh keberanian.
Sahabat tidak upaya menyurutkan suhu keberanian srikandi bertangan satu. Ternyata apa yang mahu dinyatakan oleh sahabat bukan sesuatu yang boleh diterima oleh srikandi pintar panah dan pedang itu. Benarlah perumpaman yang pernah didengarinya ketika dalam perang Hunain: Tekad itu bukan mudah untuk disurutkan kalau apa yang berlaku itu telah lukai hati seseorang.
Di kalangan Anshar, Khazraj, Mazin juga orang Madinah dialah srikandi berhati seteguh bukit Uhud. Dialah srikandi berpuput bayu jihad sekencang angin di tanah Yamamah.
Terbayang diruang mataku saat kau memotong tubuh puteraku, Musailamah. Lewat tragedi itu masih ku dengar laungan dari putera yang paling ku sayangi. Ternampak olehku linangan airmatanya menuruni pipi nya sebelum jatuh menimpa debu dan batu-batu di bumi Yamamah. Musailamah, munafik mu akan ku balas dengan tajam pedang daripada arwah suamiku. Aku sayang Hubaib. Dia puteraku yang memiliki kehebatan seperti arwah suamiku. Tanganku yang terpotong akan aku gantikan dengan kepalamu.
“Serahkan tugasamu kepada sahabat suamimu,”
“Tidak...”
“Tapi..”
“Aku tak fikirkan tentang tanganku yang satu ni tapi aku fikirkan tentang Islam yang satu,”
Sahabat diam. Dia menundukkan kepalanya. Sesekali dia merenung bukit Uhud yang juah. Sejenak dia gambarkan semula perang Yamamah yang telah mengorbankan anak dan suami sahabat.
“Aku akan korbankan segalanya demi Islam,”
“Sahabat...”
“Kalau kita inginkan Islam tu gah di dunia ni marilah kita bersatau di bawah satu semangat,”
“Tapi...”
“Jangan jadikan hal-hal kecil sesuatu yang besar,”
“Sahabat...”
“Kuda sudah berada di lapangan,”dengan tangan terpotong sahabat menelan liurnya. “apa lagi yang kita mahu kerana panah dan pedang kita telah tajam melainkan kita turun sahaja ke medan perang, bukan setakat menentang Musailamah tetapi membunuhnya!”
Siup! Siup!
Panah dengan mata pedang berselisih di atas kepala. Lompatan kuda lasak dan gah di dalam peperangan mengkalutkan lagi keadaan.
“Sahabat!”
“Ada apa sahabat?”
“Musailamah!”
“Apa?”
“Abdullah bin Zaid putera sahabat yang membunuhnya,”
“Ohhhh!”
“Tuhan tentukan yang Musailamah terkorban bukan di tangan sahabat.”
Sahabat diam lagi. Dia bersyukur kerana darah dagingnya juga yang membunuh munafik itu.
Nusaibah binti Ka’ab Al-Ansyariyah, srikandi bertangan satu. Kaulah panglima dalam sebarkan nur Islam. Akhirnya piala perempuan syurgawi tetap milikmu!
SEKIAN.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar